PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

12 Mac 2011

Orang luar usah campur tangan

KUALA TERENGGANU – Timbalan Ketua Penerangan PAS Negeri Terengganu, Zakaria Dagang menasihatkan ‘orang luar’ tidak perlu campur tangan dalam urusan kepimpinan parti itu.

Menurutnya, soal sama ada seseorang pemimpin itu perlu berundur atau sebaliknya terpulang kepada parti itu.

Beliau berkata, gesaan pihak tertentu supaya Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berundur tidak sepatutnya menjadi isu kepada orang luar kerana ia adalah hak dan tanggungjawab parti itu menentukannya.

“Mereka boleh memberi pandangan tetapi ia adalah soal dalaman kita, urusan PAS, jadi mereka tidak perlu campur tangan.

“Sama ada seseorang pemimpin itu mahu berhenti atau tidak, ia akan ditentukan melalui kaedah syura,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gesaan supaya Nik Aziz mencari dan menamakan segera penggantinya untuk menerajui pentadbiran negeri jika Menteri Besar Kelantan itu mengundurkan diri kelak.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata, tindakan menamakan pengganti itu perlu memandangkan Nik Aziz sering mengeluarkan kenyataan tidak konsisten yang menunjukkan beliau dimamah usia.

Sementara itu, Zakaria menafikan penyokong PAS akan berkurangan khususnya di Kelantan jika Nik Aziz tidak menyandang sebarang jawatan dalam parti kelak.

Menurutnya, ia hanya tanggapan segelintir pihak yang melihat dari sudut populariti sehingga menganggap tiada pemimpin PAS yang boleh menggantikan tempatnya.

“Apabila dia lihat begitu, sudah tentu dia tidak mampu melihat kehebatan pemimpin-pemimpin pelapis yang lain dan insya Allah kita mampu mengetengahkan pemimpin-pemimpin berkaliber kelak,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Tiada ulasan: