PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

12 September 2011

Ahli PAS keluar parti - propaganda Umno menjelang pilihan raya

KUALA TERENGGANU - Penolong Setiausaha PAS Negeri Terengganu, Zakaria Dagang tidak hairan dengan laporan akhbar yang mendakwa ahli PAS keluar daripada parti itu dan mendaftar sebagai ahli Umno.

Menurutnya, perkara itu sudah dijangka dan menganggap ia adalah cerita biasa yang sering kali diulang menjelang pilihan raya umum.

Beliau percaya, Umno cuba mengambil kesempatan terhadap ruang yang ada untuk mengikis kepercayaan rakyat terhadap PAS, lebih-lebih lagi apabila media ketika ini memainkan isu tragedi Bukit Kepong.

"Saya tidak hairan kerana isu keluar parti adalah benda biasa dan kerap disiarkan apabila pilihan raya dengan tujuan untuk mengambil kesempatan," katanya.

Dalam laporan Sinar Harian 9 September lalu, 10 keluarga penyokong tegar PAS di Kedah, nekad menyertai Umno Bahagian Padang Terap, susulan marah dengan tindakan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mengangkat nama anggota Parti Komunis Malaya (PKM), Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan ketika peristiwa di Bukit Kepong pada 23 Februari 1950.

Laporan agensi berita pula mendedahkan lebih 50 ahli PAS di daerah itu bertindak keluar parti dan menyertai Umno susulan marah terhadap Mohamad Sabu kerana isu itu.

Mengulas lanjut, Zakaria bagaimanapun tidak mahu mengesahkan sama ada benar atau tidak ahli PAS keluar parti kerana tidak mendapat maklumat lanjut daripada PAS kawasan tersebut.

Berdasarkan pengalaman lepas, katanya, ahli PAS yang dikatakan masuk Umno sebenarnya tiada dalam senarai ahli PAS dan segelintirnya tidak dikenali ahli PAS sendiri.

"Sebagaimana laporan yang lalu, ada yang kita tidak kenal tetapi dilaporkan sebagai keluar PAS dan masuk Umno. Apabila kita semak semula nama berkenaan, langsung tidak wujud," katanya.

Beliau berkata, jika benar ada yang keluar parti itu, ia sebenarnya tidak melibatkan jumlah yang ramai dan percaya ia lebih kepada propaganda Umno terhadap rakyat.

Sumber: Sinar Harian

Tiada ulasan: