PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

03 September 2011

Umat Islam miskin kerana meninggalkan agama

oleh: Mohd Rizlan Dagang

Sudah lama aku menyepi di “buku muka” ini. Mungkin anak-anak, cucu-cucu dan cicit-cicit Dagang duk tertanya-tanya, Ayah Din dah malas ke (mungkin perasan – orang tak perasan apa-apa pun kita tak menulis). Sibuk sangat sejak akhir-akhir ini. Selepas posting terakhir cerita fasal sakit sakit hari itu, aku terus bergelumang hendak “A-kan” dan luluskan kesemua lima mata pelajaran anak-anak murid UPSR aku. Kelas dibuat siang-malam.

Duduk di Merang ini banyak pengalaman dan cerita yang boleh dikongsi. Dua minggu sebelum Ramadan, sebanyak 85 orang penduduk fakir miskin sekitar Merang telah menerima bantuan berupa bungkusan yang berisi barangan keperluan dapur dan sedikit wang tunai. Majlis ringkas yang dimulakan dengan tazkirah diadakan di Surau Mujahidin.

Peruntukan diperoleh daripada wang zakat, derma dan sumbangan daripada indivdu-individu, para peniaga dan syarikat-syarikat sekitar Merang. Tanpa memilih bulu (fahaman politik), semua yang layak diberikan bantuan. Terbukti, majoriti orang-orang yang miskin ialah penyokong/pengundi Umno-BN. Buktinya, kurang daripada 40 peratus penerima bantuan ialah pengundi/penyokong Pas – selebihnya Umno-BN atau golongan atas pagar yang condong kepada parti itu. Sah, Umno-BN suka rakyat miskin (termasuk miskin ilmu dunia dan akhirat) kerana mereka akan menjadi pengundi tegar kepada parti tua itu dek sentiasa mengharapkan bantuan/subsidi dan ditipu.

Ramadan yang digandakan amalan umat Islam ini terus membangkitkan keghairahan insan yang berkemampuan dan pemurah untuk terus beramal. Lebih seminggu lepas, seorang individu, yang dikenali sebagai Pak/Abang Zu telah mencetuskan gelombang para pejuang Islam di Merang. Beliau menyumbang sebanyak 60 kampit beras (10 kg setiap satu) kepada Pas Cawangan Merang / Surau Mujahidin untuk diagih-agihkan.

Tindakannya telah “berjangkit” kepada beberapa orang individu lain. Ada yang masing-masing menyumbang 60 peket minyak masak (1 kg setiap satu), 60 peket teh uncang (40 uncang setiap peket), 60 bungkus bihun, 120 peket gula (1 kg setiap satu), 120 tin susu pekat manis dan sedikit wang tunai. Datang dua individu pemurah lagi yang masing-masing menambah 25 dan 15 kampit beras. Melihatkan beras sudah bertambah, sebahagian individu yang menyumbang barang-barang selain beras tadi telah menambahkan kuantiti sumbangan masing-masing supaya cukup untuk penerima sebanyak 100 orang. Mana-mana barang yang tidak cukup dibeli dengan wang tunai yang datang bertalu-talu disedekahkan para jemaah.

Selepas solat Tarawih, kami bergotong-royong membungkus barangan untuk 100 orang penerima dengan masing-masing akan mendapat sekampit beras, 1 kg minyak masak, 1 peket teh uncang, sebungkus bihun, 2 kg gula dan 2 tin susu pekat manis.

Selepas Asar pada Selasa, 23 Ramadan kami memulakan perjalanan mengagihkan sumbangan dari rumah ke rumah. Kampung Rhu Tapai, Kampung Baru Merang, Kampung Pantai Merang dan Kampung Setia Jaya kami jelajahi. Dua buah pacuan empat roda milik dua ahli Pemuda, Azhari dan Muslim (pemilik Restoran Desa Merang) bersama-sama dua buah kereta mengangkut barang-barang dan membawa ahli jemaah.

Rabu, 24 Ramadan dengan sebuah pacuan empat roda dan sebuah kereta, sebahagian daripada Kampung Gong Tengah (kampung yang paling besar di Merang) telah kami jelajahi. Hari ketiga Khamis, 25 Ramadan ziarah menyampaikan sumbangan diteruskan di sebahagian Kampung Gong Tengah dan destinasi terakhir Kampung Kolam (Telaga Papan) atau lebih dikenali dengan Gok dalam kalangan penduduk sekitar Merang. Ironinya, di banyak rumah barang-barang diangkat dan dihulurkan oleh dua orang imam import yang berasal dari Kemboja – Shaari dan Lukman yang mereka sendiri hidup amat daif di negara mereka.

Hampir tujuh tahun aku duduk di Merang, tidak semua jalan dan lorong aku masuk. Perjalanan tiga hari ini membawa aku hampir kesemua jalan, lorong semak, lembah bahkan di pinggir hutan terutama di penempatan terbesar, Kampung Gong Tengah.

Masya-Allah, miskinnya mereka. Aku saksikan fizikal rumah-rumah di sini amat daif sekali. Sudah tidak ada lagi rumah-rumah seperti itu di kampung aku. 20 – 30 tahun dulu pun sudah tidak ada. Ingat lagi bangsal mak/Tok Lah yang kita robohkan beberapa bulan dulu – masih banyak rumah-rumah sama saiz, bahkan lebih uzur daripada bangsal itu. Rumah berbilik satu – malah ada yang tiada bilik. Aku kerap juga sebelum ini melintas di depan rumah-rumah ini (yang selayaknya dipanggil pondok atau bangsal sahaja), tapi tak adalah peluang nak dekat dan menjenguk ke dalam rumah. Bagaimana mereka menjalani hidup di rumah sesempit ini dengan bilangan ahli keluarga yang besar?

Entahlah. Agaknya mereka selesa dengan kehidupan sebegini. Bukan setakat ke rumah ibu-ibu tunggal, orang-orang tua, orang-orang uzur dan orang-orang kelainan upaya yang kami ziarahi, rumah-rumah yang ketua keluarganya “sihat jaga” pun mendapat bantuan juga. Orangnya masih muda. Tubuh sorang-sorang sihat-sihat dengan bodinya katang – tetapi mengapa mereka miskin?

Sepatutnya mereka ada kudrat untuk bekerja keras menyara keluarga. Kalau orang belajar tinggi, mereka boleh hidup senang dengan bekerja menggunakan akal dan ilmu yang ada. Kerja mereka ringan dan tidak memerlukan tenaga yang kuat. Mereka yang tak belajar tinggi dan kurang berilmu pun boleh hidup selesa dengan bekerja kuat – tetapi dengan tulang empat keratlah. Sebahagian mereka malas sebenarnya. Kalau yang ke laut (nelayan) bila tiba musim tengkujuh, mereka akan membuang masa dengan bergebang di kedai-kedai kopi atau wakaf-wakaf sambil bermain dam berjam-jam. Tidak terfikirkah di kepala mereka untuk mencari kerja-kerja alternatif?

Kemiskinan menyebabkan mereka sentiasa mengharapkan bantuan – Wang Ehsan RM300 misalnya. Berkebuklah pasar malam dan kedai runcit selepas mereka menerima wang tersebut. Penduduk di sini (DUN Permaisuri) yang miskin (semuanya?) telah menerima wang tersebut pada Khamis minggu lepas. Senyum lebar keesokkan harinya mereka.

Ada dalam kalangan mereka yang bukan sahaja miskin harta, malah miskin budi bahasa. Di kebanyakan rumah yang kami kunjungi, kedatangan kami disambut mesra. Ada tuan rumah yang malu-malu. Ada yang menyuruh bini keluar, sedangkan kami yang datang ini semuanya lelaki. Ada anak muda yang tanpa memandang, tanpa senyum – jauh sekali hendak datang bersalam dengan kami yang sedang berbasi-basa dengan ibunya. Dia buat dono sahaja dengan asyik terbaring di dalam buaian jaring di depan rumah. Padahal kami hanya beberapa kaki sahaja darinya. Ada juga tuan rumah yang bukan malu, tetapi takut-takut dengan kami. Mereka hanya menjenguk dengan sebahagian/sebelah badan di balik pintu rumah. Bercakaplah kami dengan mereka jauh-jauh yang dipisahkan dengan lambur rumah. Barang-barang kami letak sahaja di atas lambur tanpa dicapai oleh mereka. Keluarlah mereka sekejap untuk mencapai wang tunai yang dihulurkan. Terpaksa berjinjing ahli jemaah kita kerana tak berapa sampai duit yang hendak diberi. Cepat-cepat masuk selepas itu. Habis pandangan mataku selepas meninggalkan rumah mereka, barang-barang duk sebek atas lambur tanpa diangkat masuk.

Bermacam fesyen gelagat golongan ini keluar menyambut kami. Ada sekelamin yang rambut reseng dengan si suami berseluar pendek dan si isteri berkain batik singkat. Entah apa yang dibuat mereka di dalam rumah bulan-bulan puasa ini. Keluar juga si lelaki yang tidak berbaju dengan seluar katok yang tidak sanggup aku memandangnya. Si ibu muda berkain pelekat singkat dan berbaju di dalam juga ada yang muncul. Si ayah yang berambut perang (entah semula jadi atau diwarnakan) keluar menyambut kami. Sebahagian daripada yang lelaki – remaja, dewasa dan yang lanjut usia tidak memakai baju. Maaf sebut dan bukan menghina, malah ada yang pakaian, rambut mereka dan anak-anak seperti etnik asal (asli) di hutan. Mereka hanya berseluar atau kain yang hampir-hampir terlondeh dengan lilitan pinggangnya atas sedikit daripada “organ” yang sepatutnya ditutup – sedangkan duk bergeluak di samping mereka ialah adik-adik perempuan, kakak-kakak dan ibu mereka.

Sebahagian rupa-rupa yang baharu aku lihat tidak pernah aku lihat sebelum ini di surau atau masjid. Rasanya tujuh tahun aku di Merang, tidak pernah aku terserempak dengan muka-muka ini di masjid. Ada personal yang aku jumpa ialah ibu-ibu atau bapa-bapa kepada murid-murid Tahun Enam. Mereka ini telah empat kali pada tahun ini dijemput oleh pihak sekolah untuk majlis bacaan Yaasin dan bersolat hajat untuk anak-anak mereka yang akan menghadapi UPSR, tetapi tidak pernah hadir. Rasanya mereka tidak pernah bersolat atau jarang-jarang sekali melakukannya. Ya Allah, jahilnya mereka.

Mereka miskin – miskin harta, miskin budi pekerti. Mereka malas. Mengapa? Jawapannya ialah kerana mereka meninggalkan agama. Lebih tepat lagi hidup dalam kejahilan dan sentiasa melakukan dosa – contohnya meninggalkan solat, tidak menutup aurat, bahkan tidak berpuasa. Bila agama mereka kesampingkan, mereka miskin segala-galanya. Hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Walau ada dalam kalangan ahli jemaah kita (juga jemaah yang komited dengan bersolat jemaah di surau) yang agak susah, tetapi mereka tidaklah sedaif puak-puak ini. Masih ada rumah yang agak selesa dan dapat menyempurnakan keperluan anak-anak seperti makanan, pakaian dan pendidikan.

Adakah mereka jadi begini (meninggalkan agama) kerana mereka jauh dari bandar, jauh dari ustaz-ustaz dan alim ulama? Atau mereka duduk di pedalaman? Suka aku membandingkan penduduk Merang ini dengan Kampung Barat di Pengkalan Berangan, Marang. Dari segi jarak dari bandar (Kuala Terengganu misalnya) rasanya sama sahaja – sekitar 40 km. Bahkan Kampung Barat lebih ke pedalaman berbanding Merang yang terletak di laluan utama jalan raya Kuala Terengganu – Kota Bharu. Merang juga ialah tempat trasnsit (jeti) ke pulau-pulau pelancongan terkemuka – Pulau Redang dan Pulau Lang Tengah.

Di Kampung Barat, suatu fenomena biasa anak-anak mereka melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi termasuk di luar negeri. Mereka pulang menjadi guru, pensyarah dan bertugas dalam bidang-bidang profesional lain. Apabila tiba hari raya, maka menjalarlah kereta-kereta sederhana dan mewah di depan tangga rumah apabila anak-anak mereka pulang bercuti.

Kenapa penduduk Kampung Barat ini begitu kontras dengan penduduk Merang? Jawapannya ialah, kalau penduduk Merang (sebahagiannya) meninggalkan agama, tetapi penduduk Kampung Barat (majoritinya) ialah orang-orang yang dekat dengan agama. Hidup mereka dalam menuntut ilmu sepanjang hayat. Telinga mereka sentiasa diisi dengan kuliah-kuliah agama di masjid dan surau dua tiga kali seminggu. Setiap pagi Jumaat, mereka menjadi pendengar tegar kuliah duha Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di Masjid Rusila. Bagi yang tiada kenderaan (terutama orang-orang tua), terang-terang tanah mereka sudah tercokoh di tepi jalan raya menunggu bas (bas sekolah) yang mengadakan perkhidmatan bas yang mengelilingi kampung-kampung sekitar mereka ke Rusila.

Hidup dalam beragama dengan mencari bekalan akhirat ini menyebabkan dunia pun “mencari” mereka. Sebahagian penduduk Merang pula meninggalkan akhirat. Dan apabila akhirat ditinggalkan, dunia pun mereka tidak dapat. Namun, Allah Maha Berkuasa – rezeki diberikan kepada semua hambanya sama ada yang taat atau yang ingkar. Contohnya, ada seorang peniaga di sini yang diketahui oleh seluruh penduduk Merang tidak bersolat, tetapi dia agak senang. Dia berusaha lebih agaknya. Semuanya kehendak Allah.

Berbalik kepada cerita mengedarkan sumbangan Ramadan / Hari Raya tadi. Setelah tiga hari kami round kampung, maka selesailah pembahagian kepada genap 100 orang penerima. Lega rasanya. Tanggungjawab sudah selesai. Tahniah dan terima kasih kepada petugas-petugas yang gigih dan ikhlas – Cikgu Mohd Nor, Abang Nasoha, Abang Azman, Abang Napi, Abang Riduan, Pak Ibrahim, Pak Rashid, Pak Mansor, orang-orang muda – Mi Nik Mat, Azhari dan Muslim, adik imam – Shaari dan Lukman serta dua orang puteraku, Ahmad Naufal dan Ahmad Nazif yang tiga hari berturut-turut “menyibuk” di belakang pacuan empat roda. Semoga Allah merahmati dan menggandakan pahala amalan pada bulan penuh kerahmatan ini.

Maaf jika persepsi aku di atas silap dan terpesong. Sila betulkan atau buat teguran jika anda ada pandangan sendiri – terutama orang Merang. Sekian, terima kasih.

Tiada ulasan: