PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

16 Ogos 2011

Perginya seorang hafiz

Dua hari lepas, Ahad, tanggal 14 Ramadhan 1432 bersamaan 14 Ogos 2011, tepat jam 8.50 pagi, kami kehilangan seorang bapa saudara yang pergi menghadap Allah SWT di alam baqa'. Beliau ialah Yusof Ibrahim, 69, yang kami panggil Pak Usop. Beliau merupakan adik kepada ayah kami.

Almarhum adalah seorang yang sangat kuat belajar terutama di zaman mudanya. Antara gurunya ialah Almarhum Dato' Haji Abas Muhammad, seorang tokoh ulama' yang masyhur di Terengganu. Walaupun almarhum tidak sempat untuk menyambung pelajaran ke menara gading, tetapi ilmunya tidak kalah berbanding dengan ulama'-ulama' lain.

Satu keistimewaan yang ada pada almarhum yang mungkin jarang dimiliki oleh orang lain ialah menghafaz al-Quran tanpa melalui institusi pengajian khas atau cara berguru. Almarhum mampu menghafaz 30 juzu' al-Quran semasa usianya 41 tahun.

Rutin hidupnya sentiasa membaca al-Quran. Walau dalam keadaan apapun, mulutnya sentiasa berkumat-kamit membaca ayat-ayat suci itu. Sebagai seorang peraih ikan, almarhum memulakan perjalanan ke Pulau Kambing untuk membeli ikan setiap hari dengan tidak lepas mengalunkan bacaan al-Quran sepanjang perjalannya dengan motosikal. Begitulah pula sepanjang jalan melalui lorong-lorong untuk menjaja ikan.

Pernah almarhum bersungut apabila perjalanannya agak singkat apabila siapnya Jambatan Sultan Mahmud yang menghubungkan bandar Kuala Terengganu dengan Pulau Duyung dan Bukit Tumbuh. Kalau sebelumnya almarhum melalui jalan Manir untuk berulang-alik dalam pekerjaannya. Masa yang singkat itu menyebabkan sedikit pula ayat-ayat yang dapat dibaca.

Almarhum merupakan imam di Masjid Kg Batin yang terletak berselahan dengan rumahnya. Sebelum almarhum ditimpa sakit barah prostat, almarhum sempat dalam beberapa ketika mengajar di Ma'ahad Tahfiz wal-Tarbiyah (MTT) Darul-Iman, yang terletak di Kg Tok Jiring.

Sayang usinya tidak panjang untuk terus berbakti mendidik anak-anak di MTT dalam bidang tahfiz. Allah terlebih dahulu memanggilnya, meninggalkan kesan yang tidak sedikit walaupun dalam tempoh masa yang agak singkat.

Pemergian almarhum sangat dirasai oleh banyak pihak; keluarga, rakan-rakan dan murid-muridnya. Semasa solat jenazah di Masjid Kg Batin, ruang masjid penuh hingga melimpah ke luar. Satu rekod bagi masjid itu. Air mata kami mengalir sedih dan terharu dengan suasana itu.

Walaupun berita kematiannya tersebar dalam masa yang sangat singkat, tetapi ia mampu menghimbau semua orang yang mengenalinya untuk datang menziarah dan menyembahyang serta mengiringi jenazahnya ke tanah perkuburan.

Jenazahnya selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kg Batin, kampung kelahiranya selepas solat Zuhur.

Almarhum meninggalkan dua orang balu, sebelas orang anak dan 24 orang cucu yang akan mewarisi perjuangannya, insya' Allah. Al-Fatihah.

Tiada ulasan: