PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

30 November 2011

Ekspedisi Ukhuwwah ke Kg Mak Jintan


KUALA NERUS - PAS Kawasan Kuala Nerus akan terus mengambil tanggungjawab membantu para penduduk Kampung Mak Jintan walaupun kampung tersebut terpisah dari persempadanan politik dengan kawasan parlimen itu.

Menurut Yang Dipertua PAS Kuala Nerus, Cikgu Shukrimun Shamsudin, program ziarah dan sumbangan bantuan berterusan ke kampung terbabit memandangkan ia tidak diambil perhatian oleh pihak berwajib.

"Kita sentiasa buat lawatan, tanpa mengikut musim, insya' Allah, kerana kita tahu di sini kurang diberi perhatian sangat oleh pihak berwajib, maka kita mengambil tangungjawab ini bagi kawasan kita (Kuala Nerus)," ujarnya ketika ditemui Skuad Buletin selepas program Ekspedisi Ukhuwwah yang diadakan pada Ahad, 1 Muharram 1433 bersamaa 27 November lalu.

Beliau berkata, PAS memberikan bantuan berupa barangan dapur bagi meringankan beban penduduk menghadapi musim banjir sekadar termampu.

Menurutnya yang juga Bendahari PAS Terengganu, sebelum ini PAS Kuala Nerus menyumbangkan sebuah penjana elektrik bermotor untuk kegunaan penduduk dan insya' Allah akan meningkatkan taraf hidup penduduk, sekiranya diberi mandat menjadi kerajaan.

"Kita datang ke sini bawa apa-apa yang kita mampu setakat ini. Penduduk di sini biasanya bersungut masalah jalan, tiang api pun tak ada lagi, yang itu biasalah. Setakat 'enjin api' (yang kita beri) itu sudah boleh dipakai.

"Dalam keadaan kita bukan (diberi mandat sebagai) kerajaan (kalau) nak bantu untuk buat jalan memang kita tidak mampu lagi," jelasnya.

Walaupun beliau tidak lagi menjadi Ahli Parlimen Kuala Nerus, Cikgu Shukrimun berazam akan terus memberikan khidmat dan merapatkan ukhuwwah di antara PAS dengan penduduk Kampung Mak Jintan.

"Kita akan sentiasa datang ke sini dan kita tidak mahu putus hubungan. Kalau sekiranya berlaku bersempadanan semula kawasan pilihan raya pun, insya' Allah, kita akan teruskan kerana hubungan kita bukan (setakat) hubungan politik, (namun) hubungan ukhuwwah," tegasnya.

Turut sama dalam rombongan PAS Kuala Nerus adalah Penolong Setiausaha PAS Terengganu merangkap Setiausaha PAS Kuala Nerus Ustaz Zakaria Dagang, Ahli-ahli Jawatankuasa PAS Kawasan dan Pemuda DUN Tepuh.

Tiada ulasan: