SEMALAM, Jumaat 28 Jun 2008 aku menghadiri jemputan ke Majis Perasmian Sambutan Hari Guru anjuran PASTI Pusat di sebuah hotel di Kota Bharu, Kelantan.
Sejak melepaskan jawatan dalam Lembaga Pengarah PASTI Pusat pada 2005 lalu, rasa-rasanya itu majlis pertama yang dianjur oleh PASTI Pusat yang aku hadiri. Seronok juga dapat berjumpa sahabat-sahabat seperjuangan semasa bersama-sama dalam LP PASTI dulu.
Aku rasa cukup kagum dengan kegigihan mereka dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab dalam PASTI. Beberapa kejayaan telah dicapai oleh PASTI, seperti pemilikan sebuah bangunan di tengah Kota Raya Kuala Lumpur yang akan menempatkan pusat pentadbiran PASTI Pusat selain menempatkan bilik seminar dan asrama serta ruang niaga. Menurut Ketua Pengarah PASTI Pusat, Cikgu Azrin Abd Majid, bangunan tersebut akan dirasmikan oleh Presiden PAS pada 13 Julai depan.
Berbalik kepada majlis di hotel tadi, sebenarnya aku dijemput sebagai tetamu kehormat untuk menerima Anugerah Khas PASTI Malaysia 2008 sempena majlis tersebut selain anugerah untuk Tokoh Guru dan Guru Paling Lama Berkhidmat. Anugerah tersebut diberi kepada seorang setiap negeri, termasuk Sabah. Aku menerimanya bagi mewakili negeri Terengganu.
Sejak berkecimpung dengan PASTI lebih 28 tahun lalu, inilah kali pertama aku menerima penghargaan dari PASTI Pusat. Rasa terharu juga apabila namaku dijemput untuk ke pentas menerima anugerah itu daripada YB Ustaz Mohamad Mustafa, ADUN Demit yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Islam dan Dakwah Negeri Kelantan, yang mewakili YB Ustaz Mohd Amar Nik Abdullah, Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Kelantan.
Selama ini aku tidak pernah bermimpi untuk dihargai dan dirai sebegitu rupa. Aku tetap bersyukur ke hadhrat Allah atas segalanya itu. Rupa-rupanya sahabat-sahabat masih mengingatiku atas sedikit usaha yang mampu aku berikan demi memperjuangkan pendidikan prasekolah Islam di negara dan di negeri ini. Terima kasih atas ingatan ikhlas dan berpanjangan dari sahabat-sahabatku.
Aku berharap anugerah yang aku terima ini akan meningkatkan lagi semangat dan daya juang aku untuk terus menabur bakti dalam kerja-kerja Islam, walaupun tidak seaktif dahulu, maklumkan umur sudah meningkat menghampiri usia emas dan fizikal pun tidak segagah dahulu. Mudah-mudahan Allah memberikan aku kekuatan dalam melaksanakan tugas dan amanah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan