PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

03 Julai 2008

Pelancaran BALKIS

SEBERANG TAKIR: Badan Amal dan Kebajikan Islam Seberang Takir (BALKIS) telah dirasmikan pelancarannya malam ini. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang. Majlis berlangsung di Masjid Kampung Batin dekat sini.

Dalam ucapannya, beliau antara lain menegaskan bahawa dalam membina tahap keyakinan, orang hendak tengok apa yang kita buat, bukan hanya mendengar apa yang kita cakap.

"Oleh itu, kita mestilah buktikan melalui tindakan dan amalan kita dalam menarik sokongan dan keyakinan masyarakat kepada kita," tambah beliau.

Beliau turut menyebut bagaimana pengalaman gerakan Islam seluruh dunia dalam pendekatan kerja-kerja kebajikan sehingga mereka mampu memenangi hati rakyat di negara mereka. Contohnya di Turki, Algeria dan beberapa negara lain.

Tarbiyah dalam jamaah kita kata beliau bukan sahaja berbentuk usrah dan tamrin, tetapi kuliah, ceramah dan lain-lain. Tanda tarbiyah yang betul ialah pengorbanan yang ditunjukkan oleh seseorang itu.

"Kebajikan pula merentasi sempadan aqidah," ujar beliau.

Dalam majlis yang sama sebelum itu, turut berucap ialah Pengerusi BALKIS, Sdra Zakaria Dagang yang juga Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Seberang Takir.

Dalam ucapannya beliau memberikan gambaran tentang peranan BALKIS dalam kerja-kerja kebajikan dan turut menyeru agar mendapat sokongan dari masyarakat di kawasan DUN Seberang Takir ini.

"Peranan yang dimainkan oleh BALKIS termasuklah dalam soal-soal yang berkait dengan pengurusan jenazah, sakit, kemalangan dan bantuan-bantuan kepada golongan miskin serta bantuan untuk menyambung pelajaran bagi anak-anak ahli dan anggota masyarakat yang perlu dibantu," katanya.

Dalam hubungan ini, tambah beliau, BALKIS memerlukan dana yang banyak supaya kerja-kerja kebajikan dapat dijalankan dengan lancar dan berkesan.

Sempena majlis tersebut, turut diadakan pemeriksaan kesihatan percuma dan jualan-jualan bagi mengisi tabung kebajikan.

Tiada ulasan: