TERENGGANU negeriku. Dulu dipopularkan dengan Darul Iman, tetapi sejak akhir-akhir ini panggilan dan sebutan itu agak tidak kedengaran lagi, ditenggelamkan oleh jolokan baru "Islam Hadhari Terengganu Bestari". Bagaimanapun sejak bertukar Menteri Besar baru ini ianya mungkin kurang pula digunakan. Kita pun belum pasti istilah atau moto apa pula yang akan dipopularkan selepas ini.
Terengganu menjadi negeri yang agak unik berbanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia. Ia terkenal dengan pantainya yang indah memutih memanjang pesisirnya dari Kuala Besut hingga Kuala Kemaman. Selain ini juga ia masyhur dengan Tasik Kenyir sebagai tasik buatan manusia yang terbesar di negara ini. Begitu juga dengan hutan-hutan lipur yang penuh dengan air terjun terdapat di banyak lokasi di negeri ini yang semuanya menjadi tarikan pelancong.
Itu dari segi muka buminya. Dari segi politik juga ia sangat unik. Terengganu menjadi negeri pertama diperintah oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) setelah parti itu memenangi Pilihan Raya Umum I (selepas Kemerdekaan) pada tahun 1959. Tetapi dua tahun kemudian kerajaan itu dijatuhkan melalui undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri. Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional mengambil tampuk pemerintahan di Terengganu bermula tahun 1961 sehingga ia dijatuhkan oleh PAS pada akhir tahun 1999. Tetapi takdir telah menentukan, PAS pula jatuh dalam Pilihan Raya Umum Ke-11 pada tahun 2004 setelah hanya sepenggal memerintah negeri ini.
Hari ini Terengganu di bawah Barisan Nasional (BN) di bawah Menteri Besar baru, Dato' Ahmad Said yang menggantikan Dato' Seri Idris Jusoh yang tidak dilantik semula kerana tidak mendapat perkenan DYMM Sultan.
Sejak negeri ini diperintah balik oleh BN, macam-macam perkara pelik berlaku, yang mungkin dahulunya tidak pernah berlaku dan tidak pernah dibuat orang, hatta di mana sekalipun.
Antara benda-benda pelik yang berlaku di negeri ini ialah menggunakan tempat yang belum siap dibina, bahkan lebih mengaibkan tempat-tempat berkenaan dirasmikan dalam keadaan kerja menyiapkannya sedang dilakukan.
Contohnya bangunan terminal baru Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu yang masih lagi dalam pembinaan sehingga sekarang, tetapi telah digunakan sejak hampir 10 bulan yang lalu. Keadaan itu telah menimbulkan kesukaran kepada para pekerja di lapangan terbang tersebut, apatah lagi kepada para penumpang yang menggunakan perkhidmatan di situ. Mereka terdedah kepada risiko bahaya. Tetapi apa boleh buat kerana itu kehendak dan arahan dari Menteri Besar yang tidak sabar-sabar untuk menunjukkan kepada orang lapangan terbang barunya. Nasib baik tidak terlintas pada akalnya untuk merasmikan terus terminal tersebut.
Dua contoh lain bagaimana bangunan yang belum siap tetapi dirasmikan, iaitu Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu dan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan, Gong Badak, Kuala Terengganu.
TTI yang merupakan sebuah taman tema dibina di atas tanah seluas 22.3 hektar dengan kos RM249.3 juta (angka rasmi) telah dirasmikan oleh Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia pada 4 Februari 2008 yang lalu. Apa yang peliknya ialah semasa ia dirasmikan masih banyak lagi replika bangunan masjid yang belum disiapkan sepenuhnya. Kerja-kerja persiapannya dijalankan berterusan, mungkin sampai hari ini.
Sementara Stadium SMZA yang memakan belanja RM270 juta pula disempurnakan perasmiannya oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei 2008. Stadium tersebut dirasmikan pada tarikh itu bagi membolehkan Sukan Malaysia (SUKMA) 2008 dijalankan di situ yang bermula pada 31 Mei hingga 9 Jun 2008. Satu lagi kepelikan berlaku, keesokan harinya (selepas perasmian dibuat pada malam sebelumnya), kelihatan para pekerja masih berada di atas bumbung stadium untuk menyiapkan kerja-kerja yang masih banyak belum disiapkan, bahkan ia berterusan sehingga kepada saat-saat bermulanya penganjuran SUKMA.
Tindakan-tindakan tersebut seolah-olah satu penghinaan kepada pembesar yang dijemput merasmikannya. Apa tidaknya, rasmi benda yang belum masak. Tetapi itulah pendekatan yang diambil oleh Kerajaan Negeri Terengganu, sama ada di bawah Menteri Besar sebelum ini atau Menteri Besar sekarang. Barangkali inilah salah satu lagi keunikan negeri ini sebagai satu sumber tarikan pelancong.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan