PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

06 Julai 2008

Ziarah

Ketika berada di Stadium Petaling Jaya

Pagi Jumaat lalu, sebelum terbitnya matahari, aku bersama isteri dan tiga puteriku (anak ketujuh, kelapan dan kesembilan) bertolak dari rumah menuju ke Nilai, Negeri Sembilan. Destinasi kami ialah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Nilai, di mana anak kelima kami belajar.

Sejak 10 Jun 2008 lalu, inilah ziarah kami kali ketiga, termasuk hari pendaftarannya. Walaupun kos bahan api untuk perjalanan yang menjangkau 500 km itu sangat tinggi terutama sejak kenaikannya yang sangat melonjak baru-baru ini, tetapi kami terpaksa juga bertemu dengan anak kami itu atas sebab beliau masih dalam rawatan setelah mendapat 'gangguan' sejak lebih sebulan yang lalu. Keadaannya sejak dua minggu lepas kelihatan agak 'stabil', tetapi rawatan susulan kena sentiasa dibuat.

Kesempatan ziarah kali ini, kami membawa beliau untuk dirawat di Darus-Syifa', Bandar Baru Bangi yang dikelolakan oleh Dato' Dr Harun Din. Dalam kunjungan kami pada hari Sabtu itu memang ramai yang datang untuk menerima rawatan. Ketika hampir jam 12.00 tengah hari, kira-kira 70 orang pesakit telah dirawat. Itu hari biasa. Apa yang dimaklumkan kepada kami, kalau hari Selasa, di mana Dato' Dr Harun sendiri yang merawatnya, dari jam 7.00 pagi hingga 1.00 tengah hari, kira-kira 200 orang pesakit dirawat oleh beliau.

Sekitar Lembah Kelang ini, ramai juga saudara-mara kami. Paling ramai ialah anak saudara dan sepupu-sepapa. Kesempatan ziarah kali ini, kami bermalam di rumah sepupuku di Kuarters Kakitangan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) dekat Bangi pada Jumaat malam Sabtu dan malam berikutnya di rumah sepupu isteriku di Desa Alam, Shah Alam. Nampaknya adil gilirannya.

Kami juga sempat berkunjung ke rumah keluarga angkatku di RKT Sungau Merab, dekat Kajang. Kebetulan pula memang sudah agak lama kami tidak berkunjung ke rumahnya.

Hari terakhir ziarah kami iaitu Ahad 6 Julai 2008, kami ke Stadium Petaling Jaya (atau juga dikenali Stadium Kelana Jaya) bagi menyertai Himpunan Protes Turunkan Harga Minyak. Memang kami rancang awal untuk ke program tersebut sempena ziarah ini. Tetapi agak sedikit kecewa kerana himpunan kali ini tidak sehebat Himpunan Bersih yang diadakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu yang berjaya mengumpulkan lebih 100 ribu peserta.

Oleh kerana kami datang berkeluarga, kami tidak lama di stadium itu, maklumlah karenah anak-anak kecil, macam-macam halnya.

Kira-kira jam 3.00 petang, kami bertolak pulang ke Terengganu dari Nilai melalui Seremban - Kuala Pilah. Kami selamat sampai di rumah pada jam 9.30 malam.

Tiada ulasan: