PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

23 Julai 2008

Perlukah Muzakarah PAS-Umno?

ISU besar yang sedang berkembang dalam negara kita sehari dua ini ialah Muzakarah PAS - Umno ekoran kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi. Pelbagai ulasan yang dilontarkan oleh segenap lapisan rakyat di negara ini terutama orang-orang politik; ada yang menyokong dan ada pula sebaliknya.

Presiden PAS melalui kenyataannya tidak menafikan adanya pertemuan antara beberapa orang pemimpin PAS dengan Perdana Menteri sejak selepas pilihan raya umum baru lalu.

Isu muzakarah ini bukan perkara baru, ia telah diperkatakan sejak sekian lama. PAS dari dahulu lagi sudah acap kali mengajak Umno untuk bermuzakarah. Tetapi sepanjang tempoh itu, tiada langsung sahutan menerima dari Umno. Tiba-tiba sekarang ia menyahut ajakan PAS itu. Persoalannya kenapa baru sekarang mereka menyatakan kesediaan untuk bermuzakarah? Jelasnya orang boleh membaca bahawa sekarang mereka dalam keadaan lemah atau sudah nazak.

Kita teringat apa yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum 1969 apabila Umno/Perikatan hilang banyak kerusi dan penguasaan orang Melayu semakin terhakis di beberapa negeri. Dalam keadaan itu Umno menghulurkan tangan kepada PAS mengajak untuk bersama. Lalu terbentuklah sebuah kerajaan campuran, yang kemudiannya tertubuhnya Barisan Nasional (BN) yang PAS menjadi salah satu komponennya.
Peristiwa itu menjadi pengalaman yang cukup berharga bagi PAS, kerana beberapa tahun selepas itu PAS ditendang keluar dari BN.

Hari ini seolah-olah berulang lagi peristiwa lalu, Umno menggamit PAS untuk bersama dalam keadaan mereka lemah, tersepit dan tidak berdaya lagi, untuk mendapat pertolongan dari PAS dengan meletakkan asas kepentingan Melayu dan Islam. Bila timbul situasi begini, banyak orang akan mempersoalkan keikhlasan Umno, betulkah mereka benar-benar berusaha untuk melangsungkan survival Melayu/Islam atau sekadar survival dan kepentingan perut mereka sahaja?

Ahli-ahli PAS cukup merasai keperitan dan penderitaan natijah dari kazaliman yang dilakukan oleh Umno di setiap peringkat. Mereka tidak akan lupa bagaimana ada pemimpin dan ahli PAS yang dibunuh dengan kejam oleh orang Umno. Mereka tentu masih ingat bagaimana ada pemimpin dan ahli PAS yang dipenjara dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Mereka akan terus terasa bagaimana diskriminasi yang dilakukan oleh Umno sama ada di peringkat negara, negeri atau di kampung-kampung. Dan banyak lagi yang cukup melekat dalam minda mereka yang semua itu menghantui mereka betapa kejamnya Umno.

Dalam suasana sebegini, bagi mereka tidak mungkin mereka boleh menerima atau menyambut tangan Umno yang sedang terkapai-kapai itu. Tetapi pemimpin kita ada pendekatan tertentu yang mungkin pada zahirnya untuk hari ini ahli-ahli tidak mampu memahaminya. Kita telah diberi keyakinan bahawa PAS tidak sekali-kali untuk bergabung dengan Umno sebagaimana peristiwa lalu. Pendekatan yang diambil mungkin sekadar bermuzakarah sebagaimana permintaan kita selama ini. Sedangkan kaedah ini tidak sampai menyalahi syariat, bahkan di zaman Rasulullah SAW dahulu, baginda juga pernah membawa pendekatan ini dengan pemimpin-pemimpin kuffar ketika itu bagi tujuan mengajak mereka kepada Islam.

Kita menaruh penuh keyakinan kepada pucuk kepimpinan PAS, terutama Majlis Syura yang diakui kewibawaannya untuk mengambil keputusan dan tindakan yang terbaik untuk masa depan politik dan perjuangan PAS yang berlandaskan syariat. Masalahnya mungkin sebahagian ahli-ahli di peringkat bawah yang berasa resah dan gelisah dengan pelbagai andaian, takut-takut berulang peristiwa hitam atau takut pisang berbuah dua kali atau dengan kata lain tercucuk dua kali pada lubang yang sama. Mereka mempunyai hak untuk berasa curiga dan bimbang atas perkara ini. Maka dalam hal ini, mereka mestilah merujuk kepada kenyataan-kenyataan rasmi dari pemimpin, sekaligus mengelakkan terpengaruh dengan macam-macam andaian dan spekulasi yang tersebar merata-rata atau yang dikutip di jalanan.

Kita meletakkan kepercayaan dan keyakinan kepada kepimpinan untuk menjelaskan secara bijaksana agar dapat difahami dengan baik oleh pengikut-pengikut di bawah. Saluran-saluran rasmi parti seharusnya digunakan dengan sebaiknya bagi menyampaikan maklumat-maklumat berkenaan. Semoga PAS terus subur membawa obor perjuangannya. Allahu Akbar!

Tiada ulasan: