PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

27 Julai 2008

Selidik dahulu berita


Dato' Harun Taib, Haji Yahaya Ali , Sen. Muhd Yusof Husin, Zakaria Dagang

Antara peserta yang hadir

KUALA TERENGGANU: Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Dato' Haji Harun Taib mengingatkan ahli-ahli PAS supaya berhati-hati dengan setiap berita yang diterima.

"Jangan mudah menerimanya tanpa diselidiki terlebih dahulu kesahihannya. Kita mestilah beramal dengan ayat 6 Surah al-Hujurat yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan," tegas beliau.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat mengingatkan demikian ketika mengulas perkembangan yang berlaku dalam isu muzakarah/muqabalah yang telah menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan ahli PAS sendiri.

Dato' Harun berucap ketika merasmikan Seminar Pemerkasaan Cawangan dan Keahlian PAS yang dianjurkan oleh Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu di Markaz Tarbiyah PAS Kuala Terengganu di Kuala Ibai dekat sini semalam.

Seminar yang dihadiri seramai 300 orang peserta itu diisi dengan pembentangan dua kertas kerja oleh Haji Yahaya Ali, Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Terengganu dan Senator Muhammad Yusof Husin, Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Kedah.

Haji Yahaya dalam kertas kerjanya bertajuk "Pemerkasaan Keahlian PAS" menyebut, program pemerkasaan ahli ini hanya akan benar-benar berjaya sekiranya semua organisasi parti terlibat dan digerakkan dari sekarang serta dijadikan salah satu agenda mesyuarat di setiap peringkat.

Selain itu kata beliau, pentingnya meningkatkan kualiti ahli ialah bagi melahirkan ahli yang memahami tanggungjawab perjuangan Islam, membina ahli yang bekerja sepanjang masa, persediaan peralihan kepimpinan di semua peringkat dan asas kepada kemenangan dalam pilihan raya.

"Usaha hendaklah dibuat bagi mendaftar seramai mungkin ahli baru dan mengadakan taklimat serta melibatkan ahli-ahli dalam program-program tarbiyah dan kemasyarakatan," tambah beliau.

Sementara itu, Senator Muhammad Yusof Husin dalam kertas kerjanya yang bertajuk "Pemerkasaan Cawangan PAS" banyak mengambil contoh pengalaman PAS Kedah dalam menguruskan Cawangan, di samping pengalaman peribadi beliau sendiri dalam PAS.

Sebelum itu, dalam ucapan aluan semasa perasmian majlis, wakil Pengarah Program, Zakaria Dagang menyatakan beberapa objektif program yang antara lainnya untuk mewujudkan pengurusan yang lebih baik khususnya di peringkat Cawangan, meningkatkan kesedaran bekerja di kalangan AJK dan ahli-ahli serta meningkatkan kualiti Cawangan dan ahli PAS.

"Program ini diadakan dalam masa yang paling tepat dengan suasana Umno dalam keadaan lemah, dan kita mestilah mengambil kesempatan untuk memperkukuhkan parti kita bagi mencapai kejayaan, insya' Allah," tegas beliau.

Tiada ulasan: