PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

21 Ogos 2008

Adakah tulisan Jawi dimartabatkan?





TULISAN Jawi adalah warisan Melayu Islam yang dipusakai sejak berabad lalu. Antara catatan awal tulisan Jawi yang dikesan ialah Batu Bersurat yang ditemui di Kampung Buluh, Kuala Berang. Pada batu bersurat itu tercatat tahun 1303 masihi.

Tulisan Jawi berkait rapat dengan tulisan Arab. Bahkan istilah-istilah Melayu banyak juga diceduk dari bahasa Arab. Oleh kerana itu penulisan Jawi ini bukan boleh dibuat sebarangan, terutama perkataan- perkataan yang berunsur Arab. Ia mesti ditulis mengikut bahasa atau tulisan asalnya. Itulah konsep yang ditetapkan dalam disiplin tulisan Jawi.

Hari ini tulisan Jawi sudah hampir pupus. Walaupun ada usaha (yang mungkin tidak seberapa) oleh pihak kerajaan sendiri melalui kaedah J-QAF yang diperkenalkan di sekolah- sekolah, tetapi kesannya masih dilihat tidak begitu menggalakkan. Ini kerana kesilapan besar kerajaan sendiri yang telah menghapuskan tulisan Jawi suatu ketika dahulu. Kesannya sampai hari ini ramai pelajar yang buta Jawi dan lebih malang ekoran dari itu buta al-Quran.

Antara usaha menggalakkan tulisan Jawi khususnya di Terengganu ialah melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), sama ada Majlis Bandaraya, Majlis Perbandaran atau Majlis Daerah. PBT di Terengganu ini sejak lama dahulu telah memberi potongan (discount) untuk papan tanda yang di atasnya ada tulisan Jawi.

Malangnya usaha ini tidak dipantau secara sepatutnya, menyebabkan berlakulah kecelaruan dalam tulisan Jawi yang dipamerkan di papan-papan tanda premis atau lain-lain. Ini menjadikan tulisan Jawi yang merupakan warisan bernilai itu rosak.

Cuba perhatikan gambar-gambar yang sempat dirakamkan di beberapa lokasi di Kuala Terengganu yang akan memberi jawapan dengan sendirinya dalam persoalan ini. Lebih mendukacitakan lagi, PBT seperti Majlis Bandaraya Kuala Terengganu sendiri tidak langsung memartabatkan tulisan Jawi dalam papan tanda di bangunannya.

Mungkin pengunjung blog ini boleh berkongsi untuk sama menghantar gambar-gambar yang merosakkan tulisan Jawi yang ditemuai di mana-mana.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kalangan pemimpin dan ketua-ketua jabatan sepatutnya memartabatkan tulisan Jawi ini. Sekurang-kurangnya diwujudkan tulisan pada setiap kepala surat setiap jabatan.

Atau mungkin pemimpin dapat mengarahkan kepada peringkat bawahannya menggunakan tulisan Jawi pada tempat yang sepatutnya.

Tetapi sebelum itu akses ke arah itu perlu disediakan, misalnya program Jawi untuk komputer. Sebelum ini KeKKWA telah mewujudkan perisian Jawi (K-Jawi)dan berhasrat untuk mengedarkannya ke setiap jabatan kerajaan.