PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

13 Ogos 2008

Pendirian tegas PAS



PAS tegas mempertahankan Islam sebagai asas perjuangan parti dan sanggup meninggalkan Pakatan Rakyat jika ia tidak menguntungkan Islam.

Perkara ini ditegaskan oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ketika berucap merasmikan Konvensyen PAS Pulau Pinang, Ahad lalu.

Ia disahkan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohamed Hafiz Nordin sebagaimana laporan Sinar Harian di muka hadapannya hari ini.

Hafiz berkata, pendirian tersebut menunjukkan bahawa perjuangan PAS mempertahankan Islam konsisten sejak dahulu lagi.

Katanya, ucapan Abdul Hadi itu merujuk tanggal 16 September depan apabila ahli-ahli parlimen Barisan Nasional (BN) melompat kepada Pakatan Rakyat.

Seperti yang telah dinyatakan oleh Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato' Seri Anwar Ibrahim, penyertaan mereka cukup untuk memboleh Pakatan mengambil alih pemerintahan negara.

Sementara itu, Hafiz berkata, dalam ucapannya Ahad lalu, Presiden PAS itu menegaskan jika ahli Parlimen bukan Islam lebih ramai daripada ahli Parlimen Islam, PAS tidak akan menyertai kerajaan Pakatan Rakyat.

"Tuan Guru (Abdul Hadi) menegaskan dalam ucapannya bahawa kita bukan perkauman tetapi menjadi tanggungjawab parti untuk mempertahankan dasar Islam.

"Beliau juga menegaskan bahawa setelah 50 tahun orang Melayu memerintah negara ini, tetapi jika orang bukan Melayu mengambil alih, (maka) ia sukar kepada negara dan rakyat.

"Oleh itu, kata Tuan Guru lagi, jika ahli Parlimen bukan Islam lebih ramai, ia akan menggugat orang Islam," kata Hafiz.

Katanya, ucapan Abdul Hadi mendapat sokongan dari lebih 100 pemimpin PAS negeri yang menghadiri konvenyen tersebut.

Bagaimanapun, kata Hafiz, Abdul Hadi telah menyatakan bahawa PAS akan tetap menyokong calon Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.

Dalam menyokong isu yang sama, Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) telah mengeluarkan kenyataan medianya semalam (Selasa) melalui Setiausahanya, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah.

"DPPNT melihat kenyataan tegas tersebut sebagai suatu peringatan kepada rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat agar memahami pendirian PAS dalam memperjuangkan Islam. Ini bagi memastikan tidak timbul permasalahan apabila 'Kerajaan Baru' dibentuk kelak," ujar beliau.

Tambah beliau, DPPNT sekali lagi menegaskan menyokong penuh kenyataan Presiden tersebut dan bersedia untuk bersama mempertahankannya bagi memastikan perjuangan PAS tidak tersasar dan Islam dapat terus dijunjung.

Inilah antara kenyataan-kenyataan awal menyokong pendirian PAS dalam isu berhubung penubuhan 'Kerajaan Baru' yang diuar-uarkan oleh Ketua Umum PKR itu. Mungkin selepas ini akan menyusul lebih banyak lagi kenyataan sokongan yang dikeluarkan oleh segenap organisasi PAS. Bahkan barangkali akan lebih 'panas' lagi dibincang dalam muktamar di Ipoh nanti.

Dalam perbincangan isu ini sudah tentu akan ada pro dan kontra; masing-masing ada hujah dan pandangan sendiri. Apa yang penting dalam perbahasan perkara ini, kita mestilah berlapang dada dan mengelakkan perkara-perkara yang boleh membawa kepada perpecahan parti kita.

Walau apa pun keadaannya, kita mestilah mengutamakan teras parti kita atas dasar dan landasan syari'at. Kita mesti bertegas dalam perkara dasar ini, walaupun ketika ini umumnya kita dilihat bertindak tidak bijak, tetapi demi Islam kita mesti mempertahankannya.

Kita harus ingat bahawa perjuangan Islam yang kita dokong ini bukan semata-mata hendakkan kuasa sehingga terpaksa menggadai prinsip. Sebab itulah, kalau kita kembali kepada sirah Rasulullah SAW, bagaimana baginda menolak tawaran kafir Quraisy untuk menabalkan baginda sebagai raja di Mekah. Alasannya ialah kerana ia membelakangi syari'at. Kalau atas perkiraan mudah kita, apa salahnya baginda menerima tawaran itu, dan dengan 'kekuasaan' yang ada sebagai raja itu baginda melaksanakan Islam? Rupanya bukan itu jalannya.

Maka marilah kita tetapkan pendirian kita, istiqamah dalam perjuangan, walaupun perjalanan yang terpaksa kita lalui masih jauh, tetapi kita yakin dengan janji Allah untuk memberi kemenangan kepada agama-Nya.

Tiada ulasan: