PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

09 September 2008

DRKK: PAS sokong pembangunan

KUALA NERUS: PAS menyokong pembangunan yang dicadangkan dalam Draf Rancangan Kawasan Khas (DRKK) Tepuh - Batu Enam 2015, tetapi dalam masa yang sama beberapa perkara perlu diambil perhatian bagi memastikan kepentingan rakyat diutamakan, terutamanya orang Melayu/Islam yang tinggal dalam kawasan berkenaan.

"Secara umum dan pada dasarnya kita menyokong draf yang dikemukakan itu yang bertujuan untuk membangunkan kawasan kita sesuai dengan perkembangan semasa," kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Mengkaji DRKK Tepuh - Batu Enam, Dr Alias Razak.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Bukit Tunggal berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat kali pertama Jawatankuasa Bertindak di Pejabat PAS Kawasan Kuala Nerus di sini semalam.


Dr Alias berkata, PAS bersetuju untuk dibangunkan kawasan Pekan Batu Enam, tetapi membantah pengambilan kawasan masjid yang sedia ada. PAS juga membantah cadangan pembesaran kawasan tanah perkuburan Islam di Batu Enam yang melibatkan pengambilan balik tanah dan pemindahan beberapa rumah di kawasan itu. Lagipun sudah ada kawasan kubur yang selesa berhampiran kawasan itu.


"Cadangan pembinaan perumahan di kawasan ini juga yang dicadangkan dengan keluasan 20 X 70 patut diperbesarkan lagi kepada 20 X 80 untuk lebih keselesaan.

"Bagi kawasan Tepuh, kita bersetuju sebagaimana yang dicadangkan, cuma pihak kerajaan perlu mengkaji semula cadangan untuk lot perkedaian yang begitu banyak.

"Secara dasarnya kita mencadangkan supaya kawasan Batu Enam dijadikan pusat perniagaan, sementara Tepuh sebagai pusat industri kecil dan sederhana," ujar beliau.

Selain itu kata beliau, PAS juga mencadangkan supaya diwujudkan sebuah hospital dan balai bomba di kawasan antara Batu Enam dan Tepuh ini bagi menampung keperluan penduduk yang semakin padat di sebelah utara Kuala Terengganu.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Penasihat 1, Dato' Abu Bakar Chik dan Penasihat 2, Ustaz Abu Bakar Abdullah.

Tiada ulasan: