PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

08 September 2008

Kegemilangan Tarbiyah PAS

Tarbiyah menjadi agenda penting dalam parti Islam seperti PAS kerana parti ini berlandaskan aqidah Islamiyyah dan perjuangannya pula berasaskan Islam yang syumul. Ia membezakan PAS dengan kumpulan Islam yang lain dan sangat jauh bezanya dengan parti yang berasaskan sekular.

Tarbiyah Islamiyyah yang dibawa oleh PAS adalah kesinambungan daripada harakah Islamiyyah yang berterusan di sepanjang zaman. Sementara wawasannya pula berpanjangan dari dunia sehingga akhirat.

Demikian ditegaskan oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam kertas kerja "Kegemilangan Tarbiyah PAS - Realiti dan Harapan" yang dibentangkan dalam Konvensyen Tarbiyah 2008 anjuran Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu yang diadakan di Markaz Tarbiyah PAS, Kubang Lembek, Manir, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Keahlian PAS pula kata Tuan Guru adalah terbuka kepada semua orang Islam.

"Perlembagaan PAS menerima setiap orang Islam, aqil baligh atau mukallaf. Maka ahli PAS terdiri daripada pelbagai latar belakang dan peringkat; pemimpin di semua peringkat, ahli biasa dan penyokong tegar, berpendidikan tinggi dan berilmu, adil dan fasiq," tambah beliau.

Katanya lagi, agenda tarbiyah PAS dilaksanakan sejak penubuhan PAS lagi, dilakukan oleh pemimpin dan ulama' PAS di semua peringkat. Cara yang lahir melalui pengalaman sendiri, pengaruh gerakan tajdid dan islah yang berlaku di seluruh dunia Islam dan menimba pengalaman daripada gerakan Islam di seluruh pelusuk dunia seperti Ikhwan Muslimin, Jamaat Islami, Masyumi dan lain-lain.

"Walaupun banyak cabaran dan mehnah di sepanjang perjuangannya, PAS menjadi makin kuat dan berpengaruh di peringkat negara dan antarabangsa, dengan melahirkan pejuang dan 'amilin yang gigih dan kuat, menapis mereka yang istiqamah dan menggugurkan sampah perjuangan di dalamnya, serta meningkatkan kefahaman ahli parti kepada perjuangan Islam dan mempengaruhi masyarakat sekeliling, Islam dan bukan Islam," tegas beliau.

Tiada ulasan: