PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

16 September 2008

Hari ini 16 September

16 September yang dinanti sudah kunjung tiba pada hari ini. Ia merupakan tarikh yang menjadi bualan hangat khususnya kepada rakyat Malaysia, sama ada di pihak pemerintah (Barisan Nasional) atau di pihak pembangkang (Pakatan Rakyat).

16 September merupakan tarikh pembentukan Malaysia, dan hari ini genap 45 tahun ia dirayakan. Sempena peristiwa besar itu, tarikh ini diambil oleh Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga Ketua Pembangkang Dewan Rakyat, Dato' Seri Anwar Ibrahim untuk gagasan pembentukan 'Malaysia Baru'.

Tarikh ini menjadi polemik hangat di kalangan orang-orang politik, ada pro dan ada kontra. Di pihak pemerintah (BN), walaupun mereka menafikan akan berlaku apa yang digagaskan oleh Anwar, tetapi dalam masa yang sama nampak mereka cukup gelabah dan panik. Lalu membawa kepada 'pelarian' seramai 52 anggota parlimen untuk lawatan sambil belajar ke Taiwan yang akhirnya ke Hong Kong yang ditaja Kelab Penyokong Kerajaan (BNBBC).

Di pihak Anwar dan Pakatan Rakyat pula mereka cukup yakin dan memberikan keyakinan yang sungguh-sungguh kepada rakyat bahawa akan berlaku peralihan kuasa atau perubahan kerajaan di peringkat Persekutuan pada tarikh ini.

Hari ini segala-galanya terbukti. Gagasan yang dibuat oleh Anwar belum kesampaian lagi pada tarikh ini, mungkin akan berlaku juga selepas ini, insya Allah.

Bagaimanapun, di pihak Pakatan Rakyat pada hari ini ada dua berita gembira yang merupakan suatu kemenangan khususnya kepada Parti Islam Se-Malaysia (PAS) iaitu keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini mengesahkan kemenangan Dato' Harun Taib bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu kawasan Manir setelah menolak dengan kos petisyen pilihan raya calon Barisan Nasional, Wan Sagar Wan Embong.

Sementara satu kemenangan lagi ialah Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin hari ini diisytiharkan sebagai pemenang untuk kerusi Dun Sanglang dalam pilihan raya lalu.

Walaupun sebuah kerajaan di peringkat Persekutuan belum berjaya diambilaih pada hari ini, sekurang-kurangnya Pakatan Rakyat telah menambah satu lagi kerusi Dun dan mengekalkan kemenangan bagi satu kerusi Dun yang lain. Sementara di pihak BN pula, yang jelasnya mereka kehilangan seorang anggota kabinet, Dato' Zaid Ibrahim apabila beliau tetap bertegas meletak jawatan pada hari ini.

Tiada ulasan: