PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

15 September 2008

Muhasabah di pertengahan Ramadhan

HARI ini 15 Ramadhan, bermakna hari ke-15 kita menjalani ibadat puasa. Setelah berlalu dua minggu atau separuh dari bulan Ramadhan, adalah wajar untuk kita bermuhasabah bagi menilai setakat mana kualiti puasa kita sepanjang tempoh itu.

Allah berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 183:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

(Maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.

Muhasabah pertama yang kena kita buat ialah, apakah taqwa kita makin bertambah atau meningkat? Kita sendiri boleh merasainya melalui amalan-amalan yang kita kerjakan sejak awal Ramadhan lalu khususnya. Apakah kekuatan kita semakin bertambah dalam melaksanakan ibadat dan perkara-perkara yang dituntut dan sebaliknya pula meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah SWT?

Bulan Ramadhan yang disebut oleh Rasulullah SAW:

أوله رحمة وأوسطه مغفرة وآخره عتق من النار

Permulaannya rahmat, pertengahannya keampunan dan penghujungnya pembebasan dari api neraka.

Sepuluh malam/hari pertama dari Ramadhan itu apakah kita telah perolehi rahmat Allah dan merasai? Keluasan rahmat Allah dengan pintunya yang terbuka seluas-luasnya untuk kita mendapatkannya terutama dalam bulan yang penuh keberkatan ini.

Kini kita telah memasuki sepuluh malam/hari kedua yang dijanjikan Allah SWT dengan pengampunan terhadap dosa-dosa yang kita telah lakukan. Semoga kita berjaya mencapainya.

Kita juga nantinya akan bertemu dengan lailatul-qadr, malam yang melebihi seribu bulan. Mampukah kita mendapatkannya? Ia juga banyak bergantung kepada usaha dan amalan yang telah kita lakukan terdahulu dari sejak awal Ramadhan lagi. Kita mestilah bertekad dengan azam yang kuat serta usaha yang bersungguh-sungguh agar Allah kurniakan kita malam kemuliaan itu.

Secara keseluruhannya, kita mestilah menilai bagaimana solat kita (sama ada tarawih, witr dan lain-lainnya), tadarus al-Quran, qiyamullail, i'tikaf, sedekah dan amalan-amalan yang lain sepanjang dua minggu lalu.

Mudah-mudahan Ramadhan tahun ini adalah yang terbaik untuk kita persembahkan ke hadhrat Allah SWT.

Tiada ulasan: