PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

17 September 2008

Nuzul al-Quran dan penghayatannya

شَہۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدً۬ى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍ۬ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِ‌ۚ

(Maksudnya): Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dan yang salah. [Al-Baqarah : 185 ]

Al-Quran adalah kalam Allah SWT sejak azali yang diturunkan ke atas Nabi Muhammad SAW dalam bahasa Arab dan dituliskan dalam mashaf yang disampaikan kepada umat akhir zaman dengan catatan dan berita secara mutawatir, tidak diragukan tentang kebenarannya dan mendapat pahala kepada sesiapa yang membacanya.

Al-Quran merupakan kitab Allah SWT yang tidak sama dengan kitab-kitab yang dikarang oleh manusia. Al-Quran mempunyai nilai tersendiri, antaranya:-
  1. Al-Quran datang dari Allah SWT yang Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana dan Allah SWT yang menjaganya.
  2. Diturunkan menerusi Malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad SAW.
  3. Al-Quran bukan perkataan malaikat, rasul atau manusia.
  4. Bersifat benar tanpa sebarang keraguan.
  5. Mendapat pahala kepada pembacanya.
  6. Penyampaiannya secara mutawatir (terus dengan bilangan ramai).
  7. Tiada pembohongan dalam penyampaian dan perubahan pada kandungan.
  8. Al-Quran tetap asli seperti di awal penurunannya.
  9. Al-Quran mengandungi mukjizat yang wajib diambil pengiktibaran.
Al-Quran sebagai wahyu Allah SWT yang diturunkan kepada umat akhir zaman. Ia diturunkan secara beransur-ansur mengikut peristiwa yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW dan memudahkan penghayatannya.

Terdapat beberapa sebab diturunkan al-Quran, iaitu:-
  1. Sebagai penyelesaian atau jawapan kepada sesuatu peristiwa yang berlaku pada masa itu dan bagaimana cara menanganinya seperti peristiwa Abu Lahab (bapa saudara Rasulullah SAW sendiri).
  2. Sebagai menjawab soalan-soalan yang dikemukakan kepada Rasulullah SAW seperti persoalan mengenai arak, roh dan pengabdian diri kepada Allah SWT sahaja sebagaimana kisah Nabi Ibrahim AS.
  3. Sebagai pengajaran daripada peristiwa-peristiwa yang ditunjukkan mengenai perbuatan dan sikap umat terdahulu seperti kisah pengajaran Luqman al-Hakim, balasan terhadap kesombongan dan kekufuran Bani Israil dan Firaun.
  4. Sebagai penghayatan dalam menangani sebarang permasalahan dan gejala sosial seperti cara menghapuskan jenayah ialah dengan melaksanakan undang-undang Islam.
Keimanan kepada kandungan al-Quran adalah suatu yang pasti. Oleh kerana al-Quran adalah kalam Allah SWT, maka ia tidak boleh diragui dan tidak boleh ditinggalkan dalam kehidupan seharian. Orang Islam mesti yakin dengan perintah Allah SWT yang terdapat di dalam al-Quran seperti mana diyakini kewajipan mengenai sembahyang, puasa dan zakat.

Sekiranya kita menerima ibadat puasa di bulan Ramadhan ini dengan penuh yakin, maka kita mesti menerima hakikat hukum dan peraturan lain yang berkaitan dengan kehidupan manusia terutama untuk menyelesaikan masalah sosial mereka. Jika kita tidak menerima perintah Allah SWT atau hukum dan peraturan-Nya, maka iman kita tidak juga diterima oleh Allah SWT.

Kalau keadaan begini berterusan, sembahyang, puasa, zakat dan haji yang kita tunaikan tetap tidak diterima oleh Allah SWT kerana kita masih kufur dan tidak menerima peraturan dan perintah Allah SWT.

Oleh yang demikian, marilah kita jadikan al-Quran sebagai peraturan dan panduan dalam kehidupan seharian. Al-Quran sebagai petunjuk kepada kebahagiaan rumah tangga, keamanan, kesentosaan masyarakat dan negara.

Tiada ulasan: