PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

14 November 2008

Misi Kemboja (2): Kenangan sepanjang jalan

PADA pagi Isnin, 3 November 2008, saya bersama tiga rakan lagi iaitu Haji Ismail Musa (Cikgu Ismail), Haji Salahuddin Mat Ali (Cikgu Din) dan Abdul Ghaffar Abd Ghani memulakan perjalanan dari Kuala Terengganu menuju negara Kemboja melalui jalan darat.

Pada tahun 2000 dahulu saya pernah ke Kemboja bersama 30 orang anggota rombongan Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (semasa itu saya menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri).

Pengalaman kali ini sungguh berbeza kerana tempoh perjalanan yang panjang iaitu kira-kira tiga hari dua malam baru sampai ke tempat yang dituju di Kemboja.

Kami menaiki keretapi ekspres dari Sungai Golok ke Bangkok pada jam 2.20 petang (3.20 petang waktu Malaysia) yang memakan masa selama hampir 21 jam. Kami terpaksa duduk di kelas 3 kerana kelas 2 yang kami hajati sudah kehabisan. Bayangkanlah kesukaran yang terpaksa kami hadapi sepanjang tempoh hampir sehari semalam duduk di dalamnya. Kami mandi, makan dan tidur dalam keadaan seadanya. Solat pun dibuat secara duduk di atas kerusi tempat duduk.

Antara kesukaran dalam perjalanan itu ialah makanan. Walaupun ramai yang menjaja pada setiap kali perhentian di stesen-stesen tertentu, tetapi hampir semuanya bukan Islam, kecuali di kawasan sebelah selatan. Kami terpaksa membawa bekalan untuk mengalas perut sepanjang perjalanan itu.

Dalam perjalanan itu, kami tidak berasa terlalu asing kerana dalam gerabak bersama kami itu ramai juga saudara se-Islam kami. Mereka dari Selatan Thailand menuju ke Bangkok. Kami sempat berkenalan dan bermesra dengan kenalan baru kami, antaranya Zaid, seorang pemuda dari Pattani yang petah bercakap dan pernah bekerja di Malaysia. Beliau bersama beberapa orang rakannya turut membantu kami mengangkat barang-barang kami semasa tiba di Bangkok, selain mendapatkan teksi untuk kami.

Di sepanjang perjalanan, kami sangat teruja dengan pemandangan indah di kiri kanan kami dengan lautan sawah padi yang menghijau dan menguning. Yang menariknya, tidak ada tanah terbiar yang tidak dimanfaatkan. Kalau tanah sawah tidak dikerjakan, mereka ganti pula dengan tanaman getah. Thailand memang terkenal dengan teknologi pertaniannya yang hebat di rantau ini.

Hari Selasa, 4 November 2008, jam 11.15 pagi, keretapi yang kami naiki selamat tiba di Stesen Keretapi Bangkok. Dari situ kami agak tergesa-gesa untuk ke Stesen Bas Mochit, Bangkok untuk mendapatkan bas menuju ke Aranyaprathet, bandar sempadan Thailand/Kemboja.

Bas ekspres yang bertolak pada jam 2.30 petang tiba di Aranyaprathet pada jam 7.15 malam. Tiba di situ, kami segera mendapatkan tuk-tuk (sejenis pengangkutan awam di Thailand) menuju ke sempadan melalui imigresen Thailand dan Kemboja. Seterusnya kami memasuki Poipet, bandar sempadan sebelah Kemboja. Bandar Poipet adalah sebuah bandar kecil tetapi hebat dengan pusat perjudian (kasino) yang dimiliki oleh warga Thailand kerana mereka tidak dibenarkan beroperasi di Thailand.

Alhamdulillah, kami sempat masuk ke sempadan kerana waktu itu hanya tinggal tidak sampai 10 minit sahaja lagi untuk ditutup imigresen (tutup jam 8.00 malam).

Keadaan jalan penuh berlumpur kerana baru sahaja hujan. Tuk-tuk yang kami naiki nyaris-nyaris terhumban kerana keadaan jalan yang berlopak dan licin.

Tidak sampai 10 minit, kami sudah sampai di Masjid Muhajirin, Poipet. Di sekeliling masjid, air melimpah hingga hampir ke paras lutut. Kami terpaksa mengharunginya dengan keadaan penuh lumpur yang hampir-hampir membenamkan selipar kami.

Di masjid, kami meminta keluarga siak masjid untuk memasak nasi bagi makan malam kami. Dengan berlaukkan sardin dan telur goreng, kami berselera sekali menikmati makan malam itu.

Malam itu, kami bermalam di masjid dengan nyenyak sekali, maklumlah malam sebelumnya tidak dapat tidur dengan baik.


Sebuah pusat kasino di Bandar Poipet, Kemboja


Bersama Cikgu Ismail dalam bas ke Aranyaprathet



Di Stesen Bas Mochit, Bangkok


Makan tengah hari di Stesen Keretapi Sungai Golok

... Bersambung.

Tiada ulasan: