PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

19 November 2008

Misi Kemboja (5): Kenangan sepanjang jalan (sambungan)

KHAMIS, 6 November 2008, hari keempat kami dalam musafir ke bumi Kemboja.

Jam 6.30 pagi kami telah check-out dari tempat penginapan kami di Moha Leap Guest House dan terus ke Restoran Malaysia untuk bersarapan pagi bersama Ustaz Sulaiman Hassan.

Di situ kami sempat berkenalan dengan salah seorang dari empat orang Ahli Parlimen Kemboja yang beragama Islam, Sman Teath (Abd Kadir Osman). Beliau mewakili kawasan Pursat. Beliau juga adalah Naib Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi & Kewangan, Perbankan dan Audit bagi Dewan Perhimpunan Kebangsaan. Juga selaku Naib Pengerusi Perhubungan Islam Parti Rakyat Kemboja (CPP) dan Naib Pengerusi Yayasan Pembangunan Muslim Kemboja. Beliau boleh berbahasa Melayu walaupun penguasaannya tidak begitu baik.

Dari kiri Ustaz Sulaiman, YB Sman Teath (Abd Kadir Osman) dan Zakaria

Selesai sarapan, kira-kira jam 7.15 pagi, kami bersama Ustaz Sulaiman bertolak ke Wilayah Kampot, yang jaraknya 148 km dari Phnom Penh. Waktu itu jalan raya di Phnom Penh sibuk sekali dengan kenderaan kerana masing-masing menuju ke tempat kerja. Dalam kesibukan itu, macam-macam benda yang kami temui, yang tidak pernah kita temui di tempat kita.

Dahlah empat orang atas sebuah motorsikal, bawa besi panjang dan tajam pula

Sepatutnya perjalanan kami hanya memakan masa dua jam lebih sahaja, tetapi oleh kerana keadaan jalan raya yang agak teruk, dan kebetulan pula jambatan yang menjadi laluan utama di situ rosak dan ditutup, kami terpaksa melalui jalan kampung dan mengambil masa lebih empat jam perjalanan untuk sampai ke destinasi.

Sebuah pemandangan dalam perjalanan Phnom Penh - Kampot

Kira-kira 11.45 pagi, kami tiba di bandar Kampot dan terus menuju ke Kampung Sprau, sebuah perkampungan orang Islam dengan penduduknya kira-kira 600 orang. Di kampung itu kami membeli seekor lembu untuk tujuh bahagian aqiqah yang kami bawa dari Terengganu. Selesai lembu itu disembelih, kami terus ke rumah Ustaz Sulaiman untuk makan tengah hari.

Lembu sedang disembelih untuk aqiqah

Jam 4.30 petang, kami tiba semula ke Kampung Sprau untuk majlis kenduri aqiqah. Seluruh warga kampung telah berkumpul di masjid kampung itu. Majlis dimulai dengan ucapan pengerusi majlis, Ustaz Omar (guru agama di kampung itu). Kemudian Ustaz Sulaiman menyampaikan ucapan aluan. Akhir sekali saya diberi peluang untuk memberi sedikit ucapan dan diterjemahkan ke dalam bahasa Cham oleh Ustaz Sulaiman.

Zakaria sedang berucap dengan diterjemahkan oleh Ustaz Sulaiman

Jamuan yang disediakan ialah nasi putih berlaukkan gulai dan singgang daging. Masing-masing nampak berselera menikmati rezeki yang jarang-jarang mereka temui.

Orang kampung sedang menikmati jamuan aqiqah

Dalam majlis itu juga, kami sempat menyampaikan sumbangan kepada guru agama dan imam masjid serta kanak-kanak dan kaum ibu yang hadir.

Kanak-kanak menerima sumbangan

Kaum ibu turut menerima sumbangan

Beredar dari situ, dalam perjalanan pulang ke rumah Ustaz Sulaiman, kami singgah untuk solat jama' taqdim Maghrib/Isya' di Masjid asy-Syakirin, Kampung Kep. Lebih daripada empat saf yang bersolat di masjid itu. Ramai juga anak-anak muda yang bersolat di situ. Saya juga diminta untuk menyampaikan sedikit tazkirah kepada para jamaah di masjid itu. Sekali lagi Ustaz Sulaiman menjadi juru terjemah ucapan saya.

Di masjid itu juga kami menyampaikan sumbangan kepada sembilan orang guru agama di madrasah berhampiran masjid itu.

Tazkirah kepada jamaah Masjid asy-Syakirin, Kg Kep

Malam itu kami bermalam di rumah Ustaz Sulaiman, dekat bandar Kampot.

...Bersambung

Tiada ulasan: