PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

20 Februari 2009

Kerja tegakkan Islam adalah amal solih


SEBERANG TAKIR: Setiap kerja yang kita lakukan untuk menegakkan Islam adalah amal solih. Sama ada kita berasa letih, dimarahi orang dan lain-lain kerana kerja-kerja kita itu, ia merupakan pahala yang Allah kurniakan kepada kita. Tidak ada ruang bagi kita untuk undur dari perjuangan ini.

Demikian ditegaskan oleh Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli, Yang Dipertua PAS Kawasan Dungun ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Berkelompok PAS Cawangan-Cawangan DUN Seberang Takir di sini malam tadi.

Beliau yang juga ADUN Sura turut menjelaskan bahawa PAS tidak pernah mengkhianati perjanjian walau dengan orang kafir sekalipun.

"Dalam sejarah perjanjian dan kerjasama kita dengan parti-parti dalam negera ini, kita lihat bagaimana akhirnya Parti Melayu Semangat 46 meninggalkan kita dalam Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan).

"Selepas itu dalam Barisan Alternatif (BA), DAP keluar dari kerjasama, tetapi PAS tetap dengan perjanjian yang dibuat," tambah beliau.

Dengan mengambil contoh Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Perak, beliau menyebut bahawa berkat usaha kita, kumpulan yang sedikit dapat memepengaruhi kumpulan yang ramai dengan keadilan Islam yang menjadi teras pemerintahan kita.

"Syarat untuk mendapat kasih dari Allah ialah berjuang Islam, membentuk organisasi yang kuat dan penyusunan yang rapi seperti sebuah bangunan," tegas Wan Hassan.

Beliau menyerus supaya ahli-ahli PAS bersungguh-sungguh melakukan kerja walaupun hanya sedikit sahaja, tetapi ia merupakan amal solih.

Akhirnya beliau menggariskan sifat-sifat pemimpin sebagaimana yang disebut oleh Al-Mawardi, iaitu berilmu, bijaksana, takut kepada Allah, belas kasihan, jaga kepentingan orang Islam, sentiasa sibuk memikirkan urusan orang Islam, jaga panji-panji Islam dan menyebarkan ajaran Islam.

Turut berucap dalam majlis itu ialah Pengarah Majlis Tindakan DUN Seberang Takir, Zakaria Dagang.

Dalam ucapannya, beliau menyeru agar diperhebatkan lagi usaha-usaha untuk memperkasakan parti melalui pendaftaran ahli baru, pendaftaran pemilih, menghidupkan solat berjamaah dan meningkatkan tarbiyah.



Tiada ulasan: