PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

21 Februari 2009

Pemerkasaan parti melalui program kebajikan

Ustaz Abu Bakar sedang menyampaikan ucaptama

KUALA NERUS:
PAS Kawasan Kuala Nerus telah berjaya menganjurkan Bengkel Pemerkasaan Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan semalam di Madrasah Dar At-Taqwa, Batu Enam dekat sini. Ucaptama dalam program yang disertai oleh Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan, Dewan-Dewan peringkat Kawasan dan Ahli Jawatankuasa Lajnah Kebajikan peringkat PAS Kawasan, Dewan-Dewan peringkat Kawasan dan Majlis Tindakan DUN itu telah disampaikan oleh Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Negeri Terengganu, Ustaz Abu Bakar Abdullah.

Ustaz Abu Bakar yang juga selaku Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Nerus dalam ucapannya menyebut bahawa pemerkasaan sesebuah organisasi secara umumnya adalah bermaksud memperkukuh dan memperkayakan kekuatan dan kelebihan yang sedia ada serta mengatasi kelemahan-kelemahan yang wujud di dalamnya.

"Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan ialah lajnah yang ditubuhkan bagi merealisasikan perjuangan Islam yang syumul menerusi amalan kebajikan dan kemasyarakatan.

"Ia bertanggungjawab menjadi nadi suara dan penggerak perjuangan PAS dalam bidang kebajikan dan kemasyarakatan agar masyarakat dapat memberi kepercayaan, keyakinan dan sokongan kepada PAS bagi mendaulatkan Islam untuk kesejahteraan ummah," tegas beliau.

Tambah Ustaz Abu Bakar, visi Lajnah Kebajikan ialah memasyarakatkan PAS melalui program kebajikan dan kemasyarakatan. Sementara misinya pula ialah merancang dan menggerakkan aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan, menonjol dan meningkatkan imej PAS sebagai sebuah parti yang lebih cakna dan mesra rakyat, serta berusaha memastikan kebajikan ahli dan masyarakat terbela.

Dalam bengkel itu, empat kumpulan telah berbincang dan merumuskan resolusi-resolusi yang akan memperkasakan program kebajikan dan kemasyarakatan. Bengkel-bengkel itu telah dipimpin oleh empat orang fasilitator yang terdiri daripada Dr Muhammad Abdullah (Naib Ketua Lajnah Kebajikan PAS Negeri), Abdul Hadi Mohamad (AJK Lajnah Kebajikan PAS Negeri), M. Shukrimun Shamsudin (Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Nerus) dan Dr Alias Razak (Ketua Penerangan PAS Kawasan Kuala Nerus).

Ketua Lajnah Kebajikan PAS Kawasan, Syed Ibrahim Syed Husin mengucapkan terima kasih kepada semua yang menjayakan program penting ini.

Tiada ulasan: