Semalam ketika melayari blog anakku, Muhammad Nasih Ulwan, dalam ruang sembang atau cbox terdapat satu nickname gelong gateh. Nama gelong gateh itu mengingatkan aku kepada zaman kanak-kanakku dan mengembalikan nostalgia masa lalu kira-kira 40 tahun lalu.
Sebenarnya Gelong Gateh adalah satu nama tempat di kampung kelahiranku, Kampung Batin, Seberang Takir, Kuala Terengganu. Sebenarnya banyak lagi nama-nama tempat di kampungku yang kini sudah tidak dikenali dan tidak disebut lagi oleh penduduk kampung. Kalau boleh aku nukilkan sebagaimana berikut:-
1) Gelong Gateh, tempat kami menangguk udang dan mencari buah nipah.
2) Tiang Serandang, tempat kami mandi manda di sungai.
3) Padang Pak Por dan Padang Pak Mat, tempat kami bermain bolasepak.
4) Nibong Empat Puluh, tempat kami mencari daun palas untuk membuat ketupat.
5) Pengkalan Ayah Da Haji, Pengkalan Che Embong, Pengkalan Pak Su Loh, tempat-tempat kami mandi-manda di sungai.
6) Rok Kapor, tempat kami lalu lalang berulang-alik ke sekolah.
7) Pulau Api, tempat kami berkelah dan mencari tetijah dan kepah.
8) Pulau Mayat, tempat kami bermain dan berkhemah.
Semua tempat di atas sudah tidak wujud lagi sekarang ini kecuali dua pulau yang sudah terbiar sepi dan makin terhakis. Kanak-kanak hari ini sudah tidak mengenali lagi tempat-tempat itu.
Kalau nak tahu apa sudah jadi dengan tempat-tempat itu:-
1) Gelong Gateh, tapak Sekolah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir.
2) Tiang Serandang, tapak Kay Marine (syarikat pembinaan kapal).
3) Padang Pak Por, tapak Taman Permint Perdana.
4) Nibong Empat Puluh, tapak Taman Permint Perdana.
5) Pengkalan Ayah Da Haji, Pengkalan Che Embong, Pengkalan Pak Su Loh, sudah tidak wujud lagi.
6) Rok Kapor, sudah dipenuhi dengan rumah-rumah.
Nama-nama lain seperti Kampung Kelantan, Balik Hilir dan Pengkalan Titian masih disebut sebahagian penduduk.
Mungkin ada orang Kampung Batin yang membaca posting ini, bolehlah komen atau menambah nama-nama tempat yang tertinggal. Terima kasih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan