PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

16 Februari 2009

Pemanjangan Landasan Terbang Punca Hakisan Pantai Tok Jembal

“Pantai Tok Jembal, dulunya sangat cantik, bersih dan sangat lebar. Tahun 1999, kalau mandi boleh sampai jauh ke tengah (laut), paras air masih di paras pinggang kita. Tetapi selepas landasan kapal terbang dibina, berlaku hakisan teruk. Tambahan pula tengkujuh datang sebaik sahaja landasan itu siap.”(Gambar - Hakisan terlalu cepat, gambar kecil diatas adalah keadaan hakisan pada pertengahan Januari lalu, kini jalan pantai hampir putus)

Kuala Terengganu: Petikan di atas adalah satu daripada catatan yang ditemui dalam internet yang menerangkan rupa paras pantai Tok Jembal, yang terletak kira-kira 17 kilometer dari bandar Kuala Terengganu.

Kenyataan hakisan yang berlaku di pantai Tok Jembal adalah lebih teruk dari apa yang ditulis seperti catatan blogawan (blogger) itu.

Tinjauan Buletinonline ke lokasi mendapati ianya cukup memeranjatkan, lanskap yang begitu indah tiga bulan sebelum ini telah musnah.

Jalan pantai dari lapangan terbang menuju ke Tok Jembal berhampiran sebuah chalet swasta hampir-hampir putus!

Keadaan pantai yang dulunya landai, kini bertebing setinggi lebih dari satu meter.

Kebanyakan pokok ru yang tumbuh di sepanjang pantai tersebut tumbang, musnah akibat dipukul ombak besar.

Rata-rata orang ramai yang ditemui di kawasan sekitar mendakwa ianya disebabkan projek mega pemanjangan landasan terbang bagi Lapangan Terbang Sultan Mahmud.

Pengarah Majlis Tindakan DUN Seberang Takir, Zakaria Dagang turut menyokong dakwaan mereka.

“Hakisan itu berpunca dari penambakan laut untuk projek memanjangkan landasan, setiap tahun memang berlaku ombak besar apabila musim tengkujuh.

“Tetapi tidak pernah seumur hidup saya melihat hakisan berlaku begitu,” katanya apabila diminta mengulas kejadian hakisan pantai tersebut.

Beliau berpendapat, kerajaan tidak membuat kajian yang rapi terhadap impak yang berlaku kepada alam sekitar akibat penambakan laut sejauh lebih 2 kilometer itu.

“Sudahlah projek tersebut memakan belanja yang besar, kosnya akan bertambah untuk mengatasi masalah hakisan yang berlaku,” ujarnya.

Beliau menolak pendapat bahawa hakisan yang berlaku adalah ketentuan Allah semata-mata kerana semua petunjuk Allah berkenaan alam ini telah diterangkan dengan jelas.

“Ilmu tentang pasang surut ombak laut, musim tengkujuh, pertukaran gelombang, tiupan angin, semuanya itu telah ada.

“Kelemahan manusia yang tetap juga mahu menentang putaran alam semulajadi,” katanya yang menambah bahawa ombak besar yang datang pada musim tengkujuh adalah faktor yang sepatutnya telah dibuat kajian mendalam.

Beliau berkata sewajarnya kerajaan memilih untuk memanjangkan landasan tersebut di daratan, lebih baik dan lebih selamat berbanding di lautan.

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu, Muzafeq turut menyokong pendapat Zakaria.

Hakisan tanah pantai yang berlaku ada kaitannya dengan pembinaan landasan terbang.

“Kerja-kerja menyedut pasir yang digunakan untuk menambak projek tersebut menyebabkan pantai ‘rebis’,” katanya yang menambah, pasir pantai di darat di bawa arus ke kawasan yang dalam, kesan penyedutan pasir.

“Arus Laut China Selatan berlainan dengan lautan lain, arus ombak mempunyai perolakan di dasar yang akan memudahkan hakisan darat, ditambah dengan aktiviti penyedutan pasir di kawasan sekitarnya,” kata beliau yang pernah menjadi calon bagi DUN Seberang Takir dalam pilihan raya umum lalu.

Penduduk sekitar yang ditemui turut menggesa pihak berkuasa bersikap lebih serius mengambil tindakan bagi membendung hakisan pantai peranginan yang semakin menggusarkan hati mereka.

Difahamkan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said telah membuat kunjungan ke lokasi berkenaan pada 5 Februari lalu.

Namun demikian, Encik Hashim Manaf, 46, kesal kerana katanya masalah hakisan tersebut telah berlarutan sejak beberapa bulan lalu.

“Saya tidak melihat sebarang tindakan yang bersungguh-sungguh diambil pihak yang sepatutnya bertanggungjawab dalam hal ini sedangkan keadaan hakisan bertambah teruk.

“Sepatutnya usaha untuk mengatasi masalah ini menjadi fokus utama, sekiranya ia tidak dipandang serius, tidak mustahil satu hari nanti kedatangan pengunjung ke negeri ini akan berkurangan kerana tujuan mereka datang ke sini adalah mahu menikmati keindahan alam semula jadi,” katanya.

Beliau bimbang sekiranya tindakan tidak diambil segera, keindahan pantai Tok Jembal yang dikenali juga sebagai tempat riadah akan lenyap sama sekali.

“Oleh itu, pihak berkenaan perlu mengambil langkah yang lebih drastik bagi mengatasi masalah ini supaya tidak berlarutan sehingga ‘menghilangkan’ keindahan pantai di negeri ini,” katanya.

Namun sehingga tinjauan lokasi ini dibuat, hanya sebuah jentera yang bekerja memindahkan bongkah batu-batu besar menutup kawasan jalan pantai yang hampir terputus.

Sementara itu, dari kesan hakisan yang berlaku, ia dijangka merebak sejauh lebih tiga kilometer sepanjang pantai Tok Jembal sehingga berhampiran kawasan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Petikan dari BuletinOnline.

1 ulasan:

نضيره سوهايمي berkata...

Salam. saya nak tanya. bagaimana rupa tanah asal tapak airport sultan mahmud yang ditambak? region yang ditambak itu pula dimana? #tanyauntukreportassignment