PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

17 Februari 2009

Zamzuri: OKU yang istimewa


Mohd Zamzuri Ariffin seorang pemuda berumur 37 tahun ditakdirkan Allah cacat penglihatan. Beliau cacat sejak kecil kerana diserang penyakit ganjil. Namun kekurangan itu tidak pernah menghalang beliau dari aktif seperti manusia yang normal.

Zamzuri atau lebih mesra dipanggil Yie merupakan anak kedua dari empat orang adik beradik. Ayah dan ibunya berpisah sejak beliau masih kecil lagi dan beliau tinggal bersama neneknya.

Apa yang menarik dengan Yie ini ialah keaktifannya dalam banyak bidang walaupun beliau tidak dapat melihat seperti manusia normal. Sesuatu yang pelik, antara hobi beliau suatu ketika dahulu ialah menonton perlawanan bolasepak. Biasanya beliau tidak ketinggalan untuk ke stadium bagi tujuan itu. Bila ditanya bagaimana beliau 'menonton' perlawanan itu, beliau menjelaskan boleh nampak juga sedikit bayang-bayang dan keseronokannya berdasarkan keseronokan penonton normal lain.

Tetapi kini hobi itu sudah ditinggalkan kerana beliau banyak menumpukan kepada kerja-kerja yang diamanahkan kepadanya.

Antara jawatan yang dipertanggungjawabkan kepada beliau ialah Naib Ketua PAS Cawangan Kampung Padang, Batu Buruk. Beliau juga turut memangku Ketua Pemuda PAS Cawangan yang sama. Selain itu beliau juga diamanahkan sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Surau Haji Yusof di kampungnya, sekaligus bertindak sebagai muazzin (bilal). Beliau juga dilantik sebagai Pegawai Infaq bagi cawangannya.

Melihat kepada jawatan-jawatan yang dipegangnya, mungkin mengalahkan orang yang sempurna. Tetapi itulah keistimewaan beliau dengan kesediaan memikul amanah yang diberikan. Semua kerja beliau dibantu oleh rakan-rakan sekampungnya.

Bagi memenuhi keperluan jawatan yang disandangnya, beberapa program semasa diatur oleh beliau seperti tayangan VCD Palestin, Ceramah Isu Perak, Ceramah Maulidur-Rasul dan lain-lain program. Atas nama Pemangku Ketua Pemuda, beliau sudah merancang untuk memohon set kelengkapan permainan ping pong untuk mendekatkan anak-anak muda di bawah jagaannya.

Boleh dikatakan program-program di suraunya dikendalikan oleh beliau sendiri dengan menghubungi sendiri pengkuliah/penceramah. Di dalam telefon bimbitnya penuh dengan nombor-nombor para pemimpin PAS yang sentiasa dijemput untuk memenuhi program-program di Cawangannya.

Ketika ditanya apakah pengalaman-pengalaman yang menarik sepanjang beliau terlibat dengan PAS, Yie menjelaskan antaranya ialah Peristiwa 8 September 2007 di Batu Buruk yang kebetulan dekat dengan kampungnya. Ketika kejadian itu, beliau berada di barisan hadapan berdepan dengan pasukan polis bersama rakan-rakannya dan terkena tembakan gas pemedih mata.

Dalam satu kejadian lain di Bukit Tunggal, Kuala Nerus, beliau telah dikepung oleh petugas Umno ketika mengedar risalah dalam satu program konsert yang dianjur oleh Umno. Banyak lagi peristiwa yang pahit sebagai pengalaman yang berharga bagi Yie dalam kerja-kerja perjuangan ini.

Beliau juga pernah ditawarkan dengan elaun RM3,000 sebulan oleh Umno untuk bekerja bersama parti itu, tetapi dengan tegas beliau menolaknya. Pemimpin Umno pernah menghulur wang sebanyak RM200 kepada beliau, juga ditolaknya.

Walaupun Yie tidak pernah bersekolah, tetapi beliau mendapat tunjuk ajar dari rakan-rakannya dan petah bercakap tentang isu-isu semasa dan perkembangan dunia. Beliau dianugerahi Allah dengan suara yang merdu. Di suraunya, sebelum mengumandangkan azan, beliau akan mengalunkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran yang dihafalnya dengan baik sekali.

Semangat kental dan jiwa besar yang dimiliki oleh Yie sepatutnya menjadi cabaran kepada anak-anak muda kita hari ini yang sebahagian besarnya lari dari mengambil tanggungjawab dalam perjuangan ini. Sepatutnya mereka berasa malu dengan Yie yang walaupun kurang dari segi pencaindera tetapi mampu melaksanakan amanah dengan baik.

Kita doakan semoga Yie terus diberikan Allah istiqamah dan iltizam dalam perjuangan ini dan usaha-usaha beliau mendapat keredhaan Allah. Ameen.


Tiada ulasan: