PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

01 Februari 2009

PRK P.036: Pegawai masjid diambil tindakan

Beberapa perkembangan menarik telah berlaku pasca Pilihan Raya Kecil Parlimen P.036 Kuala Terengganu yang baru sahaja selesai. Antaranya ialah tindakan telah mula diambil oleh pihak berkuasa Kerajaan Negeri Terengganu terhadap pegawai-pegawai masjid dalam kawasan Parlimen Kuala Terengganu yang didakwa condong kepada pembangkang dalam pilihan raya kecil baru-baru ini.

Berita terbaru yang didengar ialah pegawai-pegawai di dua buah masjid telah diambil tindakan dengan menggantung elaun bulanan. Masjid yang terlibat ialah Masjid Hiliran dan Masjid Losong Haji Mat Shafie. Masjid Hiliran terletak di dalam DUN Bandar, manakala Masjid Losong Haji Mat Shafie di dalam DUN Wakaf Mempelam.

Menurut maklumat yang diterima, mereka yang terlibat ialah empat orang imam dan empat orang bilal di Masjid Hiliran. Sementara pegawai di Masjid Losong Haji Mat Shafie pula ialah dua imam dan seorang bilal. Elaun mereka digantung berkuatkuasa serta merta pada bulan Januari lalu. Salah seorang imam di Masjid Hiliran yang juga hafiz turut digantung elaun hafiz yang diterima sebelum ini.

Tindakan ini adalah gara-gara mereka membenarkan dua orang pemimpin utama PAS menyampaikan kuliah dan khutbah Jumaat dalam tempoh kempen pilihan raya kecil baru-baru ini.

Di Masjid Hiliran, Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menyampaikan kuliah sempena Pelancaran Gerak Kerja Pilihan Raya bagi DUN Bandar pada 28 Disember 2008.

Sementara di Masjid Losong Haji Mat Shafie pula, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Haji Awang telah menyampaikan khutbah Jumaat dan mengimami solat Jumaat pada 16 Januari 2009.

Di sini jelas bagaimana Umno/BN telah mendesak pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) untuk mengambil tindakan terhadap pegawai-pegawai masjid berkenaan. Mereka telah menjadi mangsa kepada kezaliman Umno/BN semata-mata kerana ketelusan dan keterbukaan mereka menerima dua orang ulama' yang berwibawa untuk menyampaikan ajaran Islam kepada ahli-ahli qaryah masjid mereka.

Lebih mendesak lagi, apabila Umno/BN kalah teruk dalam pilihan raya kecil itu.

Kita berharap agar pegawai-pegawai yang diambil tindakan itu akan tabah menghadapi ujian ini. Semoga mereka terus istiqamah dalam menegakkan kebenaran dan ikhlas dalam melaksanakan tugas mereka, insya' Allah.

Tiada ulasan: