PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

18 Februari 2009

Sejarah hidup Prof Zulkifli Mohamad


PENGENALAN

Seorang tokoh Islam yang besar, ahli pejuang yang gigih, dan syuhada' yang sama-sama terkorban dengan isterisnya di suatu kemalangan jalan raya ialah Profesor Dato' Zulkifli Mohamad. Dia telah pergi mengadap Allah Yang Maha Kuasa bersama-sama isterinya, yang sehidup semati, ruh dan semangat perjuangannya masih menyala dan terus menyala di bumi Malaysia ini kepada suatu matlamat, menghayati Islam, menegakkan undang-undang Islam supaya hidup dan mati manusia bermakna dan mencapai kebahagiaan.

Tokoh besar, pejuang Islam sepertimini adalah satu-satunya pejuang yang perlu dihidupkan kembali semangat perjuangannya, perlu dihidupkan gerak langkahnya dan perlu dipetik kembali ucapan dan tulisannya, supaya langkah dan ideanya dapat diikuti oleh orang yang kemudian daripadanya, generasi yang ingin mengikuti langkah-langkah perjuangannya. Kerana langkah menegakkan Islam adalah suatu yang diwajibkan oleh orang Islam menunaikannya.

Prof Zulkifli Mohamad seorang tokoh Islam yang mempunyai kemampuan dan kebolehan luar biasa dalam banyak bidang. Kemunculannya dalam bidang politik melebihi dari bidang-bidang lain, walaupun beliau seorang sasterawan dan ulama'. Ini bermakna dalam tubuh beliau melengkapi sebagai seorang tokoh politik Islam yang baik, boleh menulis dan boleh berpidato.

Keikhlasan dalam perjuangan untuk melihat Islam berkembang, untuk melihat bangsanya maju telah ditunjukkan dengan lidahnya dan dengan amalannya sehari-hari. Beliau tidak jemu-jemu melayani rakyat jelata, dan memberi mereka makan bersama tanpa banyak mempersoalkan bentuk hidangan dan lauk-lauk. Sikapnya yang kelakar tetapi memberi banyak pengajaran menyebabkan beliau dihormati dan dapat dijadikan guru, penasihat, bapa dan ketua mereka. Derma dan bantuan tidak kurang pula diberi kepada rakyat di kawasan Bachok, yang beliau menjadi wakil rakyat di situ.

Kecacatan badannya, fizikalnya, tidaklah menghalang beliau bergerak sebagai seorang ahli politik yang berjasa dan melahirkan asas-asas perjuangannya. Lidahnya yang tajam itu dapat mempengaruhi para pendengar dan dapat memimpin mereka ke jalan Islam. Beliau pernah berkata di Padang Merdeka dalam suatu rapat umum malam dalam tahun-tahun 1963 masehi, "Ada orang yang mengatakan saya ini cacat bagaimana nak memimpin rakyat? Saudara-saudara harus tahu bahawa memimpin rakyat bukan dengan tubuh, tetapi dengan otak!"

Prof Zulkifli Mohamad telah menjalani hidupnya sebagai seorang pejuang Islam yang penuh taqwa dan wara', menghormati kawan, dan memimpin orang-orang bawahnya dengan penuh kemesraan. Orang yang disayangi ramai ini telah dipanggil pulang oleh Allah yang menyayanginya juga, sebelum perjuangannya selesai, belum sampai kepada matlamat sepenuhnya, tetapi garis-garis kasar dan dasar-dasar perjuangan telah diletakkan untuk disambung oleh orang-orang yang kemudian. Zulkifli meninggal dunia dalam usia yang masih muda, kira-kira umur 37 tahun, tetapi hasil perjuangan dan karyanya dapat dijadikan panduan dalam perjuangan yang panjang, dan tahan menempuh masa, banyak pula kata-kata dan ramalan-ramalan politiknya semasa hidup beliau berlaku sekarang. Inilah perkara-perkara yang sangat menarik.

(Bersambung)


Tiada ulasan: