Selamat Menyambut Ulangtahun Kelahiran Ke-9 buat anakku, SOFIYYAH SOBIHAH.
Semalam (8 Februari) genap umurnya sembilan tahun. Kelahirannya sangat bermakna buat diriku. Dialah satu-satunya anakku yang lahir dalam keadaan aku tidak menyambutnya. Ketika dia membuka mata melihat dunia ini, aku sedang berada di Indonesia bersama-sama rakan-rakan kepimpinan Dewan Pemuda PAS Pusat dalam siri lawatan kerja.
Pada 9 Februari 2000, semasa berada di sebuah pusat membeli-belah di Kota Raya Jakarta, aku berpeluang menelefon ke rumah bertanya khabar khususnya kepada isteri yang ditinggalkan dalam keadaan sarat menunggu masa. Aku dimaklumkan dengan berita gembira kelahiran seorang anak perempuan semalam di Klinik Kesihatan Seberang Takir.
Dia lahir sebelum sempat menunggu aku balik untuk meyambutnya sebagaimana tujuh orang abang dan kakaknya sebelum itu. Tetapi itulah takdirnya. Bagaimanapun aku tetap bersyukur kerana dia selamat dan ibunya juga selamat, walaupun mungkin agak sedikit terkilan kerana suami tiada di sisi ketika saat genting berjuang menumpahkan darah. Aku hanya mampu berdoa dari jauh sahaja untuk kesejahteraan mereka.
Hari berikutnya ketika rombongan kami berangkat ke Bandung, aku mengambil kesempatan ketika bertemu seorang ulama' di situ iaitu Kiyai Tubagus Hassan Basri untuk meminta beliau memberikan nama kepada puteriku itu. Lantas Pak Kiyai mencadangkan supaya aku menamakannya dengan salah satu dari nama isteri-usteri Rasulullah SAW.
Lalu aku menamkannya dengan SOFIYYAH, iaitu Sofiyyah binti Huyai Radhiallahu anha, isteri Rasulullah SAW. Oleh kerana dia dilahirkan pada waktu pagi, ibu saudaranya mencadangkan digabungkan dengan SOBIHAH, maka jadilah namanya SOFIYYAH SOBIHAH.
Dia dianugerahkan dengan wajah yang comel dan suara yang merdu. Semasa kecilnya ramai yang memanggilnya dengan anak patung. Suaranya pula sangat memukau orang yang mendengarnya apabila dia mendendangkan nasyid dalam majlis. Selain itu kepintarannya juga terserlah dan sangat peka dengar apa yang ada di sekeliling atau apa yang didengarinya.
Sempena hari ulangtahun kelahirannya ini, aku menghadiahkannya sebuah basikal untuk kemudahan baginya berulang-alik ke sekolah, setelah basikalnya sebelum ini telah hilang semasa dia ke Kelas Fardhu 'Ain (KAFA) di sekolahnya baru-baru ini.
Semoga usia yang Allah kurniakan kepadanya akan penuh dengan keberkatan dan dia mampu menjadi anak soleh.
Lain-lain coretan tentang Sofiyyah ini boleh dilihat melalui blog anak-anakku: Abdul 'Alim dan Muhammad Nasih Ulwan.
Malam Ilmunisasi Puisi Alam di Desa Gemalai kembalikan hakikat kehidupan
4 minggu yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan