PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

13 Mac 2009

Adakah kita berakhlak Rasulullah?

Dari kiri: Ustaz Zaid Ismail, Ustaz Mohd Fauzi Mustafa dan Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri
SEBERANG TAKIR: Forum Maulidur-Rasul SAW dengan tajuk "Apakah Kita Berakhlak Rasulullah?" telah berjaya disempurnakan di Surau Ayah Hitam Wan Ali, Kampung Baru dekat sini malam tadi.

Forum itu telah membariskan ahli panel yang terdiri daripada Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri, Pendakwah TV Radio yang juga Pengerusi Eksekutif Darul Fuqaha dan Ustaz Mohd Fauzi Mustafa, Pendakwah TV Radio yang juga Moderator Al-Kuliyyah TV3. Forum anjuran Darul Fuqaha dan Surau Ayah Hitam Wan Ali itu dipengerusikan oleh Ustaz Zaid Ismail dari Universiti Darul Iman (UDM).

Ustaz Fauzi dalam penyampaiannya telah menerangkan bagaimana akhlak Rasulullah SAW dengan keluarga, sahabat, kanak-kanak dan bahkan dengan haiwan.

"Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh terbaik untuk kita teladani dalam semua perilakunya dalam kehidupan seharian bersama para isterinya, anak-anaknya, cucu-cucunya dan kepada manusia lain, termasuk juga layanan Rasulullah SAW terhadap binatang," ujar beliau.

Sebagai contoh, beliau menyebut bagaimana suatu hari pernah Rasulullah SAW ketika sedang makan buah kurma di bawah sebatang pokok, tiba-tiba datang seekor kambing. Lalu Rasulullah SAW memberikan kambing itu makan biji kurma yang berada di tapak tangan kirinya.

Ustaz Fauzi juga menegaskan bahawa akhlak bermula dengan pendidikan dan rumah adalah sekolah pertama bagi seseorang anak, sementara ibu bapa pula adalah guru pertama kepada mereka.

"Kita mesti ambil kisah tentang anak-anak kita, contohnya kita mesti sentiasa memeriksa beg sekolah mereka.

"Kalau anak kita baik, maka anak orang lain juga baik dan masyarakat kita akan jadi baik," kata beliau lagi.

Dalam hubungan kemasyarakatan, beliau menekankan supaya masyarakat mesti ambil kisah tentang anak-anak.

"Anggaplah anak kita anak orang dan anak orang anak kita serta kita mesti berkawan dengan ayah kawan anak kita," saran beliau.

Beliau menyangkal peribahasa yang mengatakan jangan jaga tepi kain orang.

"Kita kena jaga tepi kain orang, yang tidak boleh masuk dalam kain orang," katanya.

Selian itu dalam pembentukan akhlak ini, peranan media juga sangat penting.

Sementara itu, Ustaz Khairuddin dalam hujahnya menyebut, "Kalau nak tahu akhlak Nabi SAW, kita kena mengaji, dan kuncinya ialah kita beriman kepada Allah dan Rasul-Nya."

Semasa mengulas mengenai perpecahan umat Islam, beliau berkata bahawa punca perpecahan ialah kerana tidak berpegang dengan agama Allah.

"Nabi SAW telah berjaya menyatukan Aus dan Khazraj di Madinah yang berpecah dalam tempoh yang sangat panjang. Mereka masuk Islam dengan satu matlamat iaitu berharapkan syurga Allah. Maka mereka bersatu," tegasnya.

Beliau menyarankan beberapa kaedah untuk menyatukan ummat, yang antaranya ialah mengajak manusia ke rumah Allah dengan berjamaah kerana Allah bersama dengan jamaah.

Pengerusi Surau Ayah Hitam Wan Ali, Ustaz Yusof Abu Bakar menampaikan cenderamata kepada ahli panel

Bergambar kenangan bersama ahli panel

Tiada ulasan: