PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

14 Mac 2009

Sejarah hidup Prof Zulkifli Mohamad (Akhir)

Pulang Ke Tanahair


Ketika di Mesir, Zulkifli telah ditimpa sakit perut. Atas nasihat doktor, beliau perlu berubat dan berehat. Dalam keadaan sedih berada di rantau orang ditimpa sakit itu, ingatan ke kampung dan kepada ibu bapa sungguh kuat. Oleh itu, tidak lama kemudian beliau bertolak kembali dengan kapal terbang KLM, dan dengan rahmat Allah beliau sampai dengan baik dan selamat, setelah terpaksa meninggalkan bumi Mesir yang penuh dengan sejarah para anbiya' dan negara Rasul dan Firaun itu, dengan harapan akan tiba lagi ke Mesir.

Di Malaysia beliau dimasukkan ke hospital dan disahkan mengidap penyakit buah pinggang. Setelah dirawat hingga hampir sembuh, beliau terjatuh dari katil hospital yang menyebabkan kakinya patah dan terpaksalah menambahkan masa rawatannya di hospital itu. Setelah sembuh, beliau kembali tinggal di Kampung Kota Lama Kiri bersama keluarganya.

Dalam hidupnya beliau telah mencari pasangan yang berpendidikan agama sebagai perintah dari Rasulullah SAW. Beliau telah melangsungkan perkahwinan dengan orang yang dipilihnya iaitu Ustazah Asiah binti Kamaruddin. Mereka berdua hidup aman damai dan dikurniakan Allah dua orang cahaya mata dan penyambung zuriatnya, iaitu Nurhana dan Nuraini. Isterinya yang dikasihi itu dibawanya dalam perjuangan politik Islam dan berusaha menegakkan hukum-hukum Allah sebagai tugas yang diperintah oleh Allah ke atas kepala setiap orang Islam.

Zulkifli telah menumpukan tenaga dan fikirannya ke arah perjuangan ini, sebagai Timbalan Yang Dipertua Agung PAS. Beliau telah menjelajah ke seluruh Malaysia dan Singapura menerangkan kedudukan bangsa Melayu dan tanahair Malaysia, serta cara untuk mengekalkannya hendaklah menegakkan undang-undang Islam dan mengawal hak bangsa Melayu supaya tidak menjadi golongan yang lemah dan diperintah.

Dalam ucapannya yang berapi-api, dengan suaranya yang lantang, beliau melaungkan supaya bangsa Melayu sedar kedudukannya, dan memberi amaran kepada pemerintah supaya mengawal hak orang Melayu sebagai tuan punya negara ini. Oleh itu beliau sangat dihormati fikirannya dan diperhatikan ucapan-ucapannya.

Perjuangannya belum selesai, panggilan Allah dengan jalan syahid telah berlaku ke atas dirinya. Ketika beliau dalam perjalanan pulang dari Bachok, Kelantan, beliau telah terlibat dengan kemalangan di Kuantan pada 6 Mei 1964. Di situ beliau dan isteri menghembuskan nafasnya yang akhir untuk kembali kepada Allah. Beliau kembali membawa ibadat yang dilaksanakan di atas dunia. Beliau dan pejuang-pejuang Islam jarang yang dapat melihat perjuangannya berhasil, tetapi cita-citanya diteruskan sampai kini dan sampai kepada suatu masa yang dikehendaki Allah yang ianya akan lahir dan berjaya.

Zulkifli Mohamad telah mendapat gelaran profesor dari Universiti Sri Wikading, Indonesia semasa beliau berkhidmat di Kolej Islam Kelang.

Dipetik dari: "Zulkifli Mohamad - Sejarah dan Karyanya" karangan Ismail Awang, Mahligai Press, Kota Bharu, Kelantan, 1981.

Tiada ulasan: