PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

25 Mac 2009

Awal-awal lagi Umno sudah takut


BUKIT GANTANG: Awal-awal lagi Umno dan Barisan Nasional (BN) sudah takut dengan PAS dan Pakatan Rakyat (PR) dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil di dua DUN dan satu Parlimen di negara ini. Tanda-tanda ini dilihat apabila kerajaan mereka menerusi Kementerian Dalam Negeri yang menjaga permit penerbitan akhbar telah mengambil tindakan menggantung penerbitan Harakah dan Suara Keadilan selama tiga bulan.

"Umno takut awal-awal lagi dengan menggantung Harakah dan Suara Keadilan, serta menyekat ceramah-ceramah PR," kata Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS.

Beliau berkata demikian semasa berucap melancarkan Gerak Kerja Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.059 Bukit Gantang bagi petugas PAS Negeri Terengganu di Dewan Tuan Guru Haji Ahmad Haji Yunus, Markaz Tarbiyah PAS Kawasan Bukit Gantang di Kampung Cheh dekat sini petang tadi.

Tuan Guru juga menyebut bahawa perkara-perkara dalaman di negeri Perak ini menjadi asas yang sangat penting untuk PAS memenangi PRK ini.

Antaranya kata beliau, PAS diberi kepercayaan memimpin kerajaan Perak sebagai sebuah parti yang berpengalaman dalam negara ini.

Beliau juga menyeru para petugas agar yakin dengan Islam yang dipegang ini.

"Kita mesti bekerja dengan yakin, walaupun kerja pilihan raya ini tidak disebut dalam al-Quran dan Sunnah Nabi SAW, tetapi perubahan zaman dan tempat membawa kita kepada pendekatan kerja seperti ini," tegas Tuan Guru.

Kerja dalam pilihan raya ini juga kata beliau adalah antara tugas amar ma'ruf nahi munkar yang menjadi kewajipan kepada orang Islam.

"Pilihan raya ini juga sangat penting dalam suasana negara kita sedang gawat dengan pelbagai krisis," ujar beliau.

Sementara itu, dalam majlis yang sama, turut berucap ialah Haji Yahaya Ali, Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Terengganu yang juga Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri.

Haji Yahaya yang juga selaku Ketua Kontinjen Terengganu dalam PRK ini melahirkan rasa puas hati dengan penyertaan para petugas dan kerja-kerja yang dijalankan setakat ini.

"Kita datang ke sini dengan satu tanggungjawab yang besar, bukan sekadar untuk masuk senarai sebagai petugas, tetapi bagi membantu kemenangan PAS dalam PRK ini," ujar beliau.

Katanya lagi, "Masa depan BN yang suram bukan sahaja hanya cakap-cakap, tetapi lebih dari itu kita mesti buktikan PR dan PAS menjadi parti alternatif kepada rakyat untuk dinobatkan sebagai pemerintah di negara ini."

Seramai kira-kira 250 orang petugas semasa bagi Gelombang Kedua hadir dalam majlis pelancaran itu. Turut hadir ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani dan Ketua Penerangan Negeri, Haji Muhyidin Abdul Rashid.

Antara pemimpin dan petugas yang hadir

Tiada ulasan: