PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

22 Mac 2009

Mengapa orang Islam mesti berjihad?

Dari sejak agama Islam diturunkan 15 abad yang silam, jihad adalah diwajibkan ke atas setiap pemeluknya, sama ada wajib itu berupa fardhu ‘ain mahupun fardhu kifayah. Firman Allah di dalam al-Quran:

سَنُرِيهِمۡ ءَايَـٰتِنَا فِى ٱلۡأَفَاقِ وَفِىٓ أَنفُسِہِمۡ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَهُمۡ أَنَّهُ ٱلۡحَقُّ‌ۗ أَوَلَمۡ يَكۡفِ بِرَبِّكَ أَنَّهُ ۥ عَلَىٰ كُلِّ شَىۡءٍ۬ شَہِيدٌ

(Maksudnya): Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu? (Surah Fussilat : 53)

Ayat ini diturunkan di Kota Makkah ketika Islam masih lemah, tetapi kebenaran segala ajaran yang dibawanya ternyata, iaitu bahawa Islam tersiar di segenap jurusan dunia dengan memimpin manusia menuju ke arah jalan yang benar.

Inilah sekarang mereka mengiktiraf bahawa sesungguhnya bersiap sedia untuk berjihad itu adalah sebaik-baik jalan bagi menjaga keamanan. Islam mewajibkan jihad ke atas penganut-penganutnya bukanlah bertujuan untuk mencari permusuhan di antara sesama manusia, dan bukan pula untuk membuka jalan ke jurang tamak dan haloba kepada harta benda dunia, secara merampas dengan kekerasan; tetapi jihad itu diwajibkan semata-mata bertujuan untuk menjamin keamanan dan perdamaian dengan menunaikan risalah agama yang diamanahkan Allah ke atas pundak tiap-tiap seorang dari kaum muslimin, menyampaikan risalah agama yang akan memberi petunjuk kepada manusia menuju ke arah pintu gerbang keadilan dan kebenaran. Firman Allah di dalam al-Quran:

وَإِن جَنَحُواْ لِلسَّلۡمِ فَٱجۡنَحۡ لَهَا وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِ‌ۚ إِنَّهُ ۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ

(Maksudnya): Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Ia Maha Mendengar, Lagi Maha Mengetahui. (Surah Al-Anfal : 61)

Setiap orang Islam yang keluar kerana pergi berjihad itu, hendaklah tersemat di dalam jiwa mereka satu perasaan suci murni, iaitu menjalankan jihad semata-mata dengan tujuan untuk meninggikan kalimah Allah. Janganlah hendaklah niat berjihad yang suci murni itu dicampuradukkan dengan niat-niat buruk yang menuju kepada keduniaan, seperti bermegah-megah, mengejar kebendaan, memonopoli harta rampasan, memperkosa dan berlaku kejam terhadap rakyat jelata yang tidak berdosa. Segala perbuatan tersebut adalah haram serta dikutuk Tuhan.

Di dalam jihad hanya satu perkara sahaja yang dihalalkan oleh Islam, iaitu mengorbankan darah, menyerahkan jiwa raga kepada agama dan memberikan petunjuk dan tauladan kepada seluruh manusia.

Daripada Al-Harith bin Muslim bin Al-Harith daripada ayahnya, telah berkata ia:

“Rasulullah SAW pernah mengutus kami di dalam suatu pasukan tentera. Manakala kami sampai di medan pertempuran, kuda tunggangan saya berlari pantas hingga mendahului sahabat-sahabat saya. Saya disambut oleh penduduk kampung dengan meraung-raung. Maka saya menyuruh mereka mengucap dua kalimah syahadah, mereka pun mengucap. Maka saya pun dikelilingi oleh sahabat-sahabat saya seraya mereka pun berkata: Kami telah diharamkan daripada mendapat harta rampasan. Manakala sampai kepada Rasulullah SAW, saya khabarkan kepada baginda segala apa yang saya telah lakukan. Maka baginda pun memanggil saya sambil memuji-muji akan perbuatan yang telah saya lakukan itu. Kemudian baginda bersabda: “Bahkan sesungguhnya Allah telah menulis untukmu akan pahala bagi tiap-tiap manusia sekian banyak.” Dan baginda bersabda pula: “Adapun aku akan menulis bagimu suatu wasiat (mengenai harta rampasan perang).” Dilakukannya dan dicapnya, kemudian diberikannya kepadaku. (Hadis dikeluarkan oleh Abu Daud).

Daripada Abi Hurairah RA:

Bahawa sesungguhnya seorang lelaki telah berkata: “Wahai Rasulullah! Seorang lelaki mahu pergi berjihad di jalan Allah dengan tujuan hendak mendapat faedah keduniaan.” Maka jawab baginda: “Tidak ada baginya pahala.” Diulanginya perkataan itu hingga tiga kali. Pada tiap-tiap kali baginda mengatakan: “Tidak ada baginya pahala.” (Hadis dikeluarkan oleh Abu Daud).

Daripada Abi Musa RA, ia berkata:

Ditanya orang akan Rasulullah SAW tentang seorang lelaki yang berjihad dengan berani dan tentang seorang lelaki yang berjihad kerana melindungi (mempertahankan) kebenaran, dan tentang seorang lelaki yang berjihad dengan perasaan riya’. Mana satu yang dinamakan jihad di jalan Allah? Sabda baginda: “Barangsiapa yang berjihad dengan tujuan untuk meninggikan kalimah Allah, itulah yang dinamakan jihad di jalan Allah.” (Hadis dikeluarkan oleh lima orang perawi).

Kalau kamu membaca kisah perjuangan para sahabat RA dan memerhatikan adab sopan mereka sewaktu menyerang sesuatu negeri yang mereka buka, kamu akan dapat menyaksikan sifat-sifat mereka yang jauh dari perasaan tamak haloba dan mengikut kemahuan hawa nafsu yang ganas dan kejam. Tetapi nyata kelihatan tujuan mereka berjihad benar-benar untuk menegakkan kalimah Allah yang tertinggi. Selain dari itu kamu akan dapat pula membandingkan tentang ketidakbenaran tuduhan-tuduhan palsu yang dilemparkan oleh musuh-musuh Islam terhadap mereka dengan mengatakan mereka melancarkan jihad semata-mata kerana tamakkan harta rampasan, kerana hendak menindas sesama manusia dan kerana untuk mencari nafkah hidup.

(Petikan dari Risalah Jihad, karangan Al-Imam Asy-Syahid Hassan Al-Banna)

Tiada ulasan: