SEBERANG TAKIR: Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-20 PAS Cawangan Teluk Ketapang yang diadakan Jumaat lalu di sini telah meluluskan tiga usul. Usul-usul tersebut telah dikemukakan oleh Jawatankuasa PAS Cawangan, Jawatankuasa Pemuda PAS Cawangan dan Jawatankuasa Muslimat PAS Cawangan.
Usul pertama yang dibentangkan oleh Haji Zulkaupali Mohd (Wakil Jawatankuasa PAS Cawangan): "Bahawa Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-20 PAS Cawangan Teluk Ketapang yang bersidang pada hari ini mengambil ketetapan untuk mengutuk sekeras-kerasnya ke atas Regim Zionis Israel yang melakukan serangan dan pembunuhan kejam terhadap rakyat Palestin di Gaza. Mesyuarat juga bersetuju mengambil langkah-langkah berikut:-
(a) Memboikot barangan keluaran negara Israel, Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya;
(b) Mengumpulkan derma bagi disumbangkan kepada rakyat dan para pejuang Islam Palestin;
(c) Melakukan munajat yang berterusan di masjid/surau bagi memohon pertolongan dari Allah SWT kepada perjuangan Islam di Palestin."
Usul kedua yang diluluskan ialah usul yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Pemuda melalui wakilnya Ahmad Suhail Zakaria: "Bersetuju menggerakkan langkah-langkah pencegahan terhadap gejala mungkar dan lepak yang berlaku di kampung ini melalui skuad khas."
Sementara usul ketiga pula dibentangkan oleh Maryani Ismail mewakili Jawatankuasa Muslimat: "Menggesa supaya usaha-usaha membina generasi pelapis dirancang dan disusun secara bersungguh-sungguh bagi memastikan perjuangan ini akan terus diwarisi oleh anak-anak kita."
Sementara itu, dalam pemilihan Jawatankuasa baru bagi PAS Cawangan untuk sesi 2009/2011, semua jawatankuasa lama dikekalkan.
Roslan Abdullah (Pengerusi Tetap), Mohd Azmi Tahir (Timbalan Pengerusi Tetap), Zakaria Dagang (Ketua PAS Cawangan) dan Maryani Ismail (Ketua Jawatankuasa Muslimat) telah menang tanpa bertanding bagi mengekalkan jawatan masing-masing.
Jawatan-jawatan lain yang turut dikekalkan oleh penyandang masing-masing ialah Naib Ketua, di mana Razali Muhammad berjaya mengenepikan pencabarnya Haji Che Kamarudin Che Mat. Ahmad Suhail Zakaria berjaya mengalahkan Mohd Nazir Ismail bagi jawatan Ketua Jawatankuasa Pemuda.
Ahli-ahli jawatankuasa yang terpilih terdiri daripada Haji Ab Rahman Ramli, Che Hashim Che Soh, Haji Che Kamarudin Che Mat, Hassan Abdullah, Ibrahim Musa, Haji Zulkaupali Mohd, Mohd Noor Jusoh dan Haji Mokhtar Mamat.
Haji Zainuddin Mohamad dan Mohd Ghazali Mohd Zaid pula telah terpilih sebagai Pemeriksa Kira-Kira.
Mesyuarat agung ini turut dihadiri oleh wakil PAS Kawasan Kuala Nerus, Haji Syed Ibrahim Syed Husin.
Dalam ucapan penangguhannya, beliau menekankan tentang pentingnya program tarbiyah dalam parti ini bagi menghadapi cabaran yang semakin hebat.
"Program-program tarbiyah seperti usrah, tamrin, kuliah dan sebagainya amat berperanan dalam membina kekuatan dalaman anggota parti kita yang akan melahirkan ketahanan diri kita," tegas beliau.
Syed Ibrahim turut menyeru supaya dilibatkan semua anggota keluarga dalam PAS ke arah menyelamatkan mereka sama ada di dunia atau akhirat.
Ketua PAS Cawangan, Zakaria Dagang ketika berucap dalam ucapan penangguhan turut merakamkan terima kasih atas sokongan semua ahli dalam menjayakan kelangsungan PAS di Cawangan ini.
Beliau juga memohon maaf atas kekurangan dan kelemahan sepanjang diberi amanah memimpin Cawangan ini.
"Siapalah kami jika tidak disokong dan dibantu oleh ahli-ahli sekalian dalam menggerakkan segala aktviti parti di Cawangan ini," ujar beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan