PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

09 Mac 2009

Salam Maulidur-Rasul SAW

HARI ini 12 Rabi'ul-Awwal, seluruh umat Islam memperingati kelahiran Rasulullah SAW yang telah diputerakan 1483 tahun yang lalu. Peristiwa ini disambut saban tahun di pelbagai peringkat dengan segala kemeriahannya. Pelbagai acara diatur seperti ceramah, perarakan dan lain-lain.

Peristiwa kelahiran Nabi SAW adalah suatu peristiwa yang besar yang memberi kesan kepada seluruh dunia dan kehidupan manusia. Ia menjadi permulaan kepada suatu perubahan besar kepada tamadun kemanusiaan di sepanjang zaman.

Apabila tiba tarikh ini, seluruh umat Islam menyambutnya dengan penuh kegembiraan sebagai tanda kasih dan sayang kepada Rasulullah SAW. Benarkah mereka kasih kepada Rasulullah SAW? Begitukah caranya melahirkan rasa kasih kepada Rasulullah SAW?

Inilah yang menjadi persoalan kepada kita.

Dalam konteks negara kita, sambutan yang dilakukan di peringkat kerajaan sama ada di peringkat kebangsaaan, negeri, daerah atau sebagainya memang sangat meriah. Bermula dengan perarakan, anugerah tokoh dan bermacam-macam lagi acara yang gilang gemilang dijalankan. Kalau dinilai secara zahir apa yang dilakukan itu, kita boleh mengesahkan bahawa merekalah yang paling kasih kepada Rasulullah SAW.

Maka dalam majlis itu, dengan 'penuh mulut' mereka memuji dan memuja Rasulullah SAW, di samping pelbagai slogan dipamerkan menggambarkan ketokohan dan kehebatan Rasulullah SAW.

Tetapi rupa-rupanya ia merupakan suatu majlis rasmi yang menjadi adat dan rutin setiap tahun untuk disambut, tidak lebih dari itu. Bukan maksud kita hendak mempersoalkan niat atau apa yang ada di dalam hati seseorang. Tetapi kita menilai berdasarkan apa yang zahir kita lihat.

Apa tidaknya! Dalam majlis yang lain, yang mungkin dalam hari yang sama, mereka yang semasa bercakap dalam majlis maulid menjadikan Rasulullah SAW sebagai ikutan dan contoh, tetapi tiba-tiba ucapan mereka bertentangan pula dengan apa yang mereka sebut sebelum itu.

Bahkan secara konsistennya (dulu, kini dan selamanya) mereka tetap berpegang dengan ajaran dan dasar yang bertentangan dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Dasar pemerintahan mereka tidak diambil dari ajaran Rasulullah SAW. Bermula dari situ, segala dasar mereka sama ada dalam politik, pendidikan, ekonomi dan lain-lain semuanya tidak diasaskan kepada apa yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW.

Lebih malang lagi, di kalangan mereka ada yang sanggup mempersenda-sendakan ajaran dan sunnah Nabi SAW. Walaupun pada mereka mungkin tidak bertujuan menghina Nabi SAW, tetapi perbuatan dan perkataan mereka itu jelas membawa kepada terpesongnya mereka dari aqidah Islam.

Sesungguhnya kita tidak mahu menjadi orang yang bersifat munafiq. Secara zahirnya memuji Rasulullah SAW, tetapi hakikat sebenarnya mereka tidak pernah bersetuju dengan sistem yang dibawa dan diamalkan oleh Rasulullah SAW. Mereka tidak yakin dengan sistem Islam untuk dijadikan asas dan dasar kepada seluruh kehidupan mereka.

Di manakah kita?

Tiada ulasan: