PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

14 April 2009

Anak Dagang di Bukit Gantang

Pilihan Raya Kecil Parlimen P.059 Bukit Gantang sudah seminggu berlalu. Namun cerita mengenai Bukit Gantang masih belum habis. Dalam tulisan saya kali ini, saya cuba menarik perhatian kepada satu kisah sebuah kehidupan yang juga ada kaitan dengan 'Bukit Gantang'. Ceritanya mengenai seorang perantau dari Terengganu yang akhirnya menamatkan perantauannya di satu kampung dalam kawasan Parlimen Bukit Gantang.

Abdul Ghani bin Dagang yang dilahirkan pada 9 Disember 1942 di Kampung Batin, Seberang Takir, Kuala Terengganu adalah anak kepada pasangan Dagang Ibrahim dan Fatimah Muda. Beliau adalah anak sulung dalam keluarga. Mempunyai dua orang adik beradik seibu sebapa dan 17 orang adik beradik sebapa (daripada tiga orang ibu).

Ibunya telah meninggal dunia ketika usianya kira-kira dua tahun akibat ditimpa wabak taun yang melanda kampungnya sehingga menyebabkan ramai penduduk kampung yang terkorban. Adik kandungnya, Khadijah turut menyusul ibunya tidak lama selepas itu. Abdul Ghani hanya sempat bersekolah hingga Darjah Lima sahaja.

Kisah bermula ketika usianya 17 tahun, beliau mula merantau ke tempat orang bagi mencari rezeki untuk melangsungkan kehidupannya. Sementelah pula beliau tidak mendapat kasih sayang dari orang tua. Seolah-olah beliau membawa diri dan hati yang penuh kekecewaan, sebagaimana katanya, "hidup terumbang-ambing, bagai sabut di dalam sungai."

Destinasi pertama dalam siri perantauannya ialah Dungun, Terengganu. Beliau tinggal di situ dalam tempoh tidak sampai setahun. Kemudian berbekalkan wang sejumlah RM80, beliau meneruskan perjalanan dengan menaiki bas ke Kuala Lumpur dan kemudian keretapi ke Bukit Mertajam, Seberang Perai, Pulau Pinang.

Di Bukit Mertajam, Abdul Ghani bekerja menjahit songkok. Malang menimpa dirinya lagi apabila beliau tidak diberi gaji selama setahun, sehingga wang bekal yang dibawanya habis dibelanja.

Setelah berhenti kerja di tempat menjahit songkok itu, beliau beralih pula kepada pekerjaan membuat acuan kuih dengan gaji RM1 sehari.

Tidak lama kemudian, Abdul Ghani berpindah pula ke Taiping, Perak. Beliau tinggal di Kampung Matang Jambu, kira-kira 6 km dari bandar Taiping, dalam kawasan Parlimen Bukit Gantang. Di sini beliau membuat kerja bendang dan kerja di estet getah.

Pada tahun 1963, ketika berumur 21 tahun beliau berkahwin dengan Fatimah Abu Bakar seorang gadis di kampung itu yang ketika itu baru berumur 16 tahun.

Kehidupannya di peringkat awal sangat susah. Dalam pada itu ada pula orang yang sakit hati dengannya. Bagaimanapun, beliau berasa senang kerana ada di kalangan orang India dan Cina yang tinggal di kawasan itu yang banyak menolong beliau.

Dengan asas agama yang tinggi yang beliau miliki, akhirnya beliau diterima baik oleh penduduk kampung.

Pada awalnya, beliau mengaku tidak mempunyai saudara mara, hidup sebatang kara. Tetapi ibu mertuanya tahu bahawa beliau masih mempunyai ayah dan adik beradik. Sebab itulah ketika hendak berkahwin, beliau dinasihati supaya menghantar surat kepada ayahnya untuk memaklumkan perkara itu.

Tetapi apakan daya, kerana jarak yang sangat jauh dengan kemudahan yang sangat terhad ketika itu, tiada seorangpun saudara maranya yang dapat datang dalam majlis perkahwinannya itu.

Pada tahun 1969, beliau untuk kali pertamanya pulang ke kampung tempat tumpah darahnya setelah kira-kira 11 tahun merantau ke negeri orang. Itupun beliau hanya pulang seorang diri tanpa membawa bersama isteri.

Kira-kira pada tahun 1975, kali pertama orang kampungnya (Kampung Batin) berjaya mengesan beliau di perantauan. Kebetulan orang itu adalah bapa sepupunya yang pergi ke Taiping untuk urusan perniagaan.

Selepas itu, pada akhir tahun 1975, adik beliau yang bernama Zakaria yang ketika itu baru berumur 15 tahun berkunjung ke rumahnya dengan menumpang seorang penjual ubat dari Pulau Pinang. Itulah kali pertama adik beradiknya berkunjung ke rumahnya dan menjelaskan kepada masyarakat kampungnya bahawa Abdul Ghani bukan sebatang kara.

Selepas itu ayahnya pula bertandang ke rumahnya. Kemudian boleh dikatakan saban tahun ada adik-adiknya yang datang menziarahinya.

Dari rumah kampung yang agak uzur, akhirnya beliau berjaya memiliki rumah sendiri di Rumah Awam Batu 2 1/2, Simpang, Taiping. Beliau juga mendapat pekerjaan sebagai buruh dengan Keretapi Tanah Melayu (KTM).

Hasil dari perkahwinannya, beliau dikurniakan lapan orang anak, dua lelaki dan enam perempuan. Anak-anaknya, Norhayati, 45; Rosnani, 44; Shabir, 42; Nor Ainon, 35; Mohd Zuwairi, 31; Nor Aidawati, 30; Nor Aishah, 28 dan Nor Shakila, 26. Kecuali Mohd Zuwairi, semua anak-anaknya sudah berumahtangga.

Tiga daripada anak-anaknya adalah lulusan institusi pengajian tinggi, iaitu Nor Ainon (UiTM), Nor Aidawati (UIAM) dan Nor Aishah (UiTM). Sementara Mohd Zuwairi lulusan Institut Kemahiran Mara (IKM) dan Nor Shakila pula lulusan Kolej Kejururawatan.

Kini Abdul Ghani boleh berbangga dengan kejayaan semua anak-anaknya bersama 25 orang cucu dan 2 orang cicit.

Tiada ulasan: