PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

13 April 2009

Undi tidak percaya: Antara amaran MB dan kenyataan Rosol

Hari ini (Isnin), Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Kedua Belas memulakan sidangnya dengan majlis perasmian oleh Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Terengganu, Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman.

Menjelang persidangan kali ini, timbul lagi cerita usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Dato' Ahmad Said. Isu ini sangat hangat diperakatakan di awal pemerintahan Barisan Nasional selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu di bawah Menteri Besar yang menimbulkan banyak kontroversi di negeri ini di kalangan anggota Umno sendiri.

Isu ini kembali hangat apabila akhbar menyiarkan berita amaran keras Ahmad yang akan mengambil tindakan disiplin termasuk memecat ADUN BN sekiranya usul undi tidak percaya terhadap beliau dikemukakan pada Sidang DUN.

Sebenarnya kita sendiri tidak tahu dari mana pula tercetusnya isu ini setelah sejak setahun ia berlalu. Barangkali Menteri Besar mempunyai maklumat mengenai perkara ini. Kalau dinilai dari kenyataan amarannya itu nampak sangat ia suatu yang seolah-olah akan benar berlaku, dan kemungkinan dari pihak BN sendiri.

Sementara akhbar hari ini pula memetik kenyataan yang dibuat oleh Dato' Rosol Wahid, bekas Exco Kerajaan Negeri dan juga bekas Setiausaha Perhubungan Umno Negeri. Rosol yang merupakan orang yang setia dengan bekas Menteri Besar, Dato' Seri Idris Jusoh mungkin dilihat seolah-olah 'perancang' kepada usul tersebut.

Bagaimanapun beliau menafikannya dengan menyebut bahawa Menteru Besar tidak perlu 'cemas' mengenai usul undi tidak percaya terhadap beliau berikutan perkara itu tidak pernah dibincangkan mana-mana ADUN BN sebelum ini.

Rosol juga berharap supaya Menteri Besar tidak takut dengan bayang-bayang sendiri sehingga sanggup mengeluarkan amaran keras itu. Beliau sendiri tidak faham bagaimana Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri boleh mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Kenyataan Rosol itu jelas seperti memperli Menteri Besar yang memang tidak 'sebulu' dengannya. Umum mengetahui hubungan beliau dengan Ahmad begitu renggang bahkan tegang sejak peristiwa perlantikan Menteri Besar tahun lalu. Rosol di dalam Sidang DUN sejak awal dahulu lagi langsung tidak berperanan, sama ada mengemukakan soalan atau berucap dalam perbahasan. Beliau sekadar hadir untuk memenuhi kerusi yang disediakan untuknya sahaja, sekaligus dapat menuntut elaun hadir mesyuarat.

Meskipun penafian dibuat oleh Rosol yang boleh dianggap mewakili kumpulan pro-Idris, tetapi bagi Ahmad beliau mungkin belum boleh percaya sepenuhnya, kerana dalam politik ini tidak ada yang mustahil. Bagaimanapun rasanya agak sukar untuk kita percayai bahawa anggota ADUN BN akan mengemukakan usul sedemikian. Daripada pengalaman lepas, mereka tidak bersedia menanggung risiko.

Walau apa sekalipun tanggapan dan andaian kita, tunggulah esok dan lusa sehingga Sidang DUN berakhir pada 15 April ini.

Tiada ulasan: