PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

12 April 2009

Kisah ibu tunggal beranak 3 di Bukit Gantang

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.059 Bukit Gantang sudah berlalu dan keputusan telah diketahui. Tahniah kepada PAS dan Pakatan Rakyat serta YB Ahli Parlimen Bukit Gantang yang baru. Selamat bertugas kita ucapkan. Semoga diberi kekuatan oleh Allah untuk memikul amanah besar dan harapan rakyat.

Sepanjang tempoh kempen dalam PRK itu, banyak sekali pengalaman dan kenangan yang boleh memberi iktibar besar kepada mereka yang terlibat. Saya sendiri berpeluang terlibat secara langsung dalam gerak kerja PRK itu. Seawal 21 Februari lagi saya bersama rombongan Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri (JPN) Terengganu telah membuat tinjaun di enam daerah mengundi (UPU) di DUN Cangkat Jering, Parlimen Bukit Gantang. Selepas itu, saya berulang-alik sebanyak empat kali lagi sehinggalah hari pengundian pada 7 April.

Antara pengalaman menarik yang ingin saya bawa di sini bagi dikongsi bersama ialah kisah seorang ibu tunggal beranak tiga di kawasan pilihan raya ini. Namanya Basariah Omar, berumur 33 tahun. Suaminya telah meninggal dunia enam tahun lalu ketika beliau mengandungkan anak ketiganya yang kini berumur enam tahun. Anak sulungnya berumur 10 tahun dan anak kedua lapan tahun.

Ceritanya bermula dari satu majlis yang dianjurkan oleh UPU Air Kuning dengan kerjasama PAS Kawasan Kuala Nerus, PAS Kawasan Kuala Kerai dan PAS Kawasan Tambun. Majlis itu ialah Majlis Minum Petang Bersama YAB Menteri Besar Kelantan dan Calon PAS. Ia diadakan di Taman Kuning Sari, berhampiran markas Kuala Nerus.

Majlis itu mendapat sambutan di luar dugaan dari penduduk tempatan, termasuk kaum India dan Cina. Ramai yang terpaksa berdiri kerana kerusi yang disediakan tidak mencukupi. Dalam ramai-ramai tetamu yang datang itu, terdapat seorang ibu bersama seorang anak perempuannya. Beliau disapa oleh seorang muslimat kita yang bertugas di situ.

Dari situlah bermula kisah sedih yang menimpa dirinya. Beliau tinggal di Batu 7, Jalan Trong, kira-kira 6 kilometer dari tempat majlis itu. Kedatangannya pada hari itu semata-mata untuk bertemu dan melihat sendiri Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang belum pernah dilihat secara bersemuka sebelum ini, selain dari ingin meminta 'air tawar' untuk anak sulungnya yang sakit. Sayangnya pada majlis itu, Tuan Guru tidak dapat hadir kerana keuzuran dan diganti dengan Ustaz Nasuruddin Daud, Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Apabila ditanya tentang peribadi dan kehidupannya, beliau bercerita dengan penuh emosi sehingga mengalirkan air mata. Muslimat kita sangat tersentuh dengan ceritanya itu. Lalu maklumat itu dibawa kepada pihak Urusetia.

Maka pada pagi 6 April, sehari sebelum hari pengundian, dua buah kereta petugas dari Kuala Nerus cuba menyusuri ke tempat penginapannya melalui alamat yang diberi. Hampir 10 tempat atau orang kami bertanya, tetapi tidak ketemu jua. Kebetulan pula telefon bimbitnya yang kami dail tidak berjawab. Akhirnya kami pulang dengan hampa kerana tidak berjaya mengesannya.

Tiba-tiba pada sebelah petangnya, beliau menelefon balik kepada saya dan meminta maaf kerana beliau tertinggal telefon di rumah ketika menghantar anak ke sekolah. Saya terus mengambil keputusan untuk berkunjung ke rumahnya pada petang itu juga.

Sekali lagi dua buah kereta yang terdiri dari empat muslimin dan tiga muslimat cuba mengesan kembali rumahnya. Salah seorang anggota rombongan kami adalah pengamal perubatan Islam Darus-Syifa'.

Alhamdulillah, kali ini kami berjaya mengesan rumahnya. Pada sebelah pagi tadi, tempat yang kami bertanya sangat hampir dengan rumahnya, tetapi tidak dikenali oleh mereka. Padahal beliau sudah dua tahun tinggal menyewa di situ. Rumah itu disewa RM170 sebulan. Rumah asalnya di Air Kuning terpaksa dirobohkan tanpa pampasan setelah diambil balik untuk projek landasan keretapi berkembar.

Sambil pengamal perubatan merawat anak sulungnya yang cacat (sawan dan pelbagai penyakit pelik lain), kami terpegun mendengat cerita duka dari Basariah yang begitu petah mengatur bicara tentang kehidupannya. Ia bermula sejak enam tahun lalu setelah kematian suaminya, seorang penyelia kilang. Pada awalnya beliau bekerja, tetapi akhirnya terpaksa berhenti untuk menjaga anak sulungnya yang cacat itu.

Punca pendapatannya hanya RM250 sebulan hasil dari wang Perkeso arwah suaminya. Bayangkanlah dari wang sebanyak itu, untuk dibayar sewa rumah dan keperluan harian. Beliau berasa agak terkilan kerana permohonannya untuk mendapat bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat seolah-olah tidak dilayan. Beliau juga tidak pernah merasa apa-apa bantuan yang disalurkan di kampungnya.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (2008) lalu, untuk kali pertama beliau dapat mengundi, beliau telah memilih Almarhum Haji Roslan Shaharum sebagai Ahli Parlimen. Beliau sangat terharu dengan sikap Almarhum Haji Roslan yang datang sendiri ke rumahnya untuk menyampaikan bantuan, walaupun terpaksa menunggu lama di luar rumah kerana kebetulan ketika itu beliau berada di bilik air. Peristiwa itu terpahat kukuh dalam ingatannya.

Kami sangat terharu mendengar cerita sedih dari beliau sehingga tanpa kami sedari semua anggota rombongan kami mengalirkan air mata sedih yang tidak dapat ditahan lagi. Masing-masing kami sebak mendengar kisah duka yang melanda kehidupannya yang seolah-olah terlepas pandang dari mereka yang bertanggungjawab dalam kampung itu. Saya sendiri, ketika menulis cerita ini masih sebak dan mengalirkan air mata.

Kami percaya dan yakin dengan ceritanya kerana kami menyaksikan sendiri keadaan rumahnya yang serba serbi dhaif, dan masyarakat sekelilingnya yang seolah-olah tidak pernah kenal dengan insan malang ini.

Dengan penuh rasa simpati, masing-masing anggota kami menghulurkan sumbangan wang berjumlah lebih dari RM300, di samping sedikit buah tangan berupa keropok Terengganu yang kami bawa khas untuk pengundi Bukit Gantang. Ternyata beliau terkedu dan terharu dengan sumbangan yang kami sampaikan itu. Beliau menyatakan bahawa cerita yang disampaikan itu bukan ingin menarik simpati sesiapa. Tetapi kami jelaskan bahawa ini adalah merupakan antara kewajipan kami yang mesti kami laksanakan.

Sesungguhnya kami terpanggil untuk menolongnya. Mudah-mudahan pertolongan yang sedikit yang mampu kami berikan itu akan menjadi titik tolak kepada masyarakat setempat untuk terus membantu dan membelanya. Maklumat mengenai ibu tunggal ini telah kami sampaikan kepada isteri YB Dato' Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin dan kepada muslimat setempat. Semoga diambil perjalanan sewajarnya, insya' Allah.

Tiada ulasan: