PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

21 Mei 2009

Adunan kepimpinan dalam PAS

KUALA TERENGGANU: PAS mempunyai pemimpin yang terdiri daripada pelbagai latar belakang; ulama', profesional dan orang biasa. Semuanya diadun dalam sebuah kepimpinan yang berteraskan kepada kepimpinan ulama'.

Demikian ditegaskan oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang semasa berucap dalam Majlis Jasamu Dikenang anjuran Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu di sebuah restoran dekat sini malam tadi.

"Tidak mungkin kita mempunyai pemimpin yang tahu semua perkara. Walaupun kita menyebut kepimpinan ulama', tetapi mereka sahaja secara bersendirian tidak boleh memimpin dengan berkesan tanpa gandingan bersama golongan yang lain," tambah beliau.

Tegas beliau, adunan ini penting dan perkara ini tidak boleh berpisah antara satu sama lain.

"Kadang-kadang kita menonjolkan ulama' dan kadang-kadang kita menonjolkan profesional. Olahan mesti dibuat sesuai dengan keadaan semasa," ujarnya.

Majlis yang diadakan itu adalah bagi meraikan bekas-bekas pemimpin Dewan Pemuda pada sesi lepas. Dalam majlis itu, Tuan Guru telah menyampaikan cenderamata kepada mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri sesi lepas, Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani dan beberapa orang bekas ahli jawatankuasa yang melepaskan jawatan kerana faktor umur dan ingin membuat tumpuan di peringkat lain.

Majlis juga diisi dengan penyerahan tugas antara Ustaz Azman kepada Ustaz Mohd Nor Hamzah, Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri yang baru. Selain itu semua ahli jawatankuasa kerja Dewan Pemuda yang baru turut menerima watikah perlantikan daripada Tuan Guru.

Turut hadir dalam majlis itu ialah mantan-mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri yang terdiri daripada Ustaz Abu Bakar Abdullah (1993-1995), Zakaria Dagang (1999-2001) dan Ustaz Saiful Bahri Mamat (2003-2005).

Tiada ulasan: