PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

08 Mei 2009

Sehari yang dirasakan singkat

Hari ini, Jumaat 8 Mei 2009, jadual hidup saya sedikit padat untuk diisi. Sehari suntuk sehingga ke malam ini, saya sempat menziarahi kematian di empat tempat, kenduri walimah (perkahwinan) di dua tempat, solat hajat di dua tempat dan ziarah keluarga di empat buah rumah.

Bermula seawal jam 8.30 pagi, saya menziarahi dan mengimamkan solat jenazah Johari Ngah di Kampung Baru Seberang Takir yang meninggal dunia jam 8.00 malam tadi di Hospital Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu. Almarhum meninggal dunia kerana mengidap kanser usus. Sebelum ini jam 11.45 malam tadi saya telah menziarahi keluarganya dan mengatur urusan bagi pengurusan jenazahnya.

Selesai solat jenazah di situ, saya bergegas pula untuk menziarahi bagi kali kedua satu lagi kematian di Rumah Murah 100 Teluk Ketapang. Pak Hussin seorang OKU (cacat penglihatan) meninggal dunia jam 3.00 petang semalam di rumahnya. Pada jam 6.00 petang semalam saya sudah menziarahinya dan turut membantu bagi pengurusan jenazahnya. Jenazahnya disembahyangkan pada jam 10.30 pagi dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Bukit Tok Beng, Seberang Takir.

Di tempat kematian itu, saya bertemu dengan sahabat lama, Mohd Azam Ibrahim, rakan sekelas semasa di Sekolah Menengah Kebangsaan Seberang Takir (sekarang SMK Ibrahim Fikri) kira-kira 32 tahun lalu. Kebetulan si mati adalah bapa saudara isterinya.

Saya mempelawa beliau sekeluarga (isteri dan tiga orang anaknya) bertandang ke rumah saya. Saya berasa amat berbesar hati kerana beliau sudi bertamu ke rumah saya. Maka banyaklah cerita-cerita lama zaman persekolahan dahulu yang menjadi topik perbualan kami.

Sejurus selepas Azam beredar dari rumah, saya menerima seorang lagi 'tetamu' yang saya sentiasa mengharapkan mudah-mudahan mereka ini membawa rahmat dan barakah ke rumah kita. Tetamu ini pula adalah seorang jurujual, yang pada awalnya kami tidak berminat untuk membeli barang jualannya.

Tetapi apabila dilihat bahawa jurujual itu mungkin berbeza dengan jurujual yang lain, kami rasa simpati dan memanggilnya semula untuk melihat barang jualannya. Beliau adalah seorang gadis kecil yang berumur 12 tahun, pendatang dari Myanmar. Kami kagum dengan kegigihannya walaupun dalam usia semuda itu, sanggup berjaja ke merata-rata tempat bagi mencari sesuap nasi. Dengan bahasa Melayu yang agak kurang fasih, beliau petah bercerita tentang barang jualan dan kehidupannya apabila kami cuba mengcungkilnya.

Sebenarnya bukan tujuan sebenar kami untuk membeli barangannya yang berupa tudung, keronsang, gelang dan ubat, tetapi kerana simpati dan kasihan kepadanya, kami membaei juga sekadar membantunya. Beliau begitu gembira sambil memuji-muji kami apabila kami melayannya dengan baik, bukan seperti melayan seorang jurujual, tetapi seorang tetamu.

Selesai solat Jumaat di Masjid Kampung Batin, saya memenuhi undangan seorang sahabat yang mengadakan majlis 'naik rumah' dengan solat hajat dan jamuan tengah hari di Taman Permint Perdana, Kg Batin.

Di situ, saya mendapat satu berita kematian lagi di kawasan Seberang Takir ini. Beredar dari majlis 'naik rumah' itu, saya bergegas pula ke rumah si mati di Kampung Seberang Takir. Ketika saya sampai di rumahnya, jenazahnya masih berada di HSNZ. Saya diberitahu beliau baru sahaja meninggal dunia kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

Setelah pulang ke rumah, saya bersama isteri dan tiga orang anak terus ke majlis kenduri walimah di Kampung Hulu Takir dan seterusnya ke Teluk Pasu, rumah pak dua pupu saya, majlis walimah juga. Di sana sudah berkumpul ibu dan tujuh adik beradik saya yang lain bersama keluarga masing-masing. Asalnya kami nak bertolak bersama dari rumah ibu di Kg Batin, tetapi kerana urusan saya tidak dapat diselesaikan awal, mereka bertolak dahulu.

Ibu saya sangat menekankan ikatan kekeluargaan, sebab itulah semua anak-anaknya dikerah untuk bertandang ke majlis walimah keluarga kami walaupun sudah beberapa pupu. Tujuannya supaya kami anak-anaknya ini akan kenal anak beranak dan terus berhubung sampai bila-bila dan diperturunkan pula kepada anak-anak kami pula. Tuan rumah nampak begitu gembira dengan kehadiran kami sekeluarga itu.

Semasa kami beredar dari rumah kenduri itu, azan Asar sudah dikumandangkan. Saya terus menuju ke Sekolah Menengah Sains Kuala Terengganu (SESTER) untuk menghantar anak keenam saya yang belajar di situ.

Selepas singgah untuk solat Asar di Surau Kuala Ibai, perjalanan kami diteruskan untuk ke destinasi seterusnya iaitu menziarahi kematian sahabat lama saya Zul Zakaria di Kampung Rusila. Beliau meninggal dunia pada hari Selasa lalu dan dikebumikan keesokan harinya. Oleh kerana saya mendapat berita itu selepas majlis pengkebumiannya, dan tidak sempat pula menziarahi pada hari berkenaan, maka hari ini saya mengambil kesempatan itu bersama keluarga untuk menziarahi keluarganya. Kebetulan pula isterinya adalah sahabat lama isteri saya yang bersama-sama dalam PASTI di peringkat awal penubuhannya (awal 1980-an) dulu.

Almarhum meninggal dunia disebabkan pelbagai penyakit seperti kencing manis, jantung dan buah pinggang. Almarhum meninggalkan seorang isteri dan lapan orang anak.

Ada satu lagi 'ziarah wajib' yang perlu saya penuhi, iaitu ibu mertua kepada adik saya di Kampung Bukit Kulim, Hulu Marang. Beliau terlibat dalam satu kemalangan jalan raya seminggu lalu dan mengalami kecederaan di kepala.

Kesempatan berada di Bukit Kulim itu juga saya ambil untuk menziarhi rumah adik saya dan ibu mertua adik saya yang seorang lagi (dua orang besan ibu saya di Bukit Kulim). Walaupun hanya mampu menjenguknya sekejap sahaja, tetapi ia cukup bermakna bagi kami dalam mengukuhkan silaturrahim.

Walaupun tuan-tuan rumah yang kami ziarahi itu mempelawa kami untuk makan malam di rumahnya, tetapi saya terpaksa menolaknya kerana agak terkejar-kejar dengan masa. Dalam keadaan tergesa-gesa saya terpaksa beredar dari rumahnya untuk segera pulang kerana ketika itu jam sudah menunjukkan pukul 6.45 petang, sedangkan saya perlu mengisi satu kuliah Maghrib di Kampung Duyung Seberang Takir. Perjalanannya memakan masa 40 minit.

Selesai kuliah Maghrib dan solat Isya' di Surau Haji Wan Ngah, Kg Duyung, satu lagi majlis solat hajat dan tahlil perlu dipenuhi di rumah Haji Abdullah Busu di Kg Duyung juga.

Pulang ke rumah, saya bersama keluarga bersiap pula untuk ziarah yang terakhir hari ini, iaitu di rumah abang sulung isteri saya di Gong Badak.

Walaupun masa saya agak terkejar-kejar hari ini, sampai tak kering peluh (kebetulan hari ini penasnya terlalu terik), tetapi saya berasa cukup puas kerana dapat mengisi waktu yang Allah anugerahkan kepada saya ini dengan sesuatu yang mudah-mudahan bermanfaat dan mendapat keberkatan dari-Nya.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

salam ust..
teringat saya pada sebuah kata2 "hamparkanlah segala urusanmu untuk islam, nescaya Allah akan mengaturkan hidupmu"...moga2 Allah Taala memberkati hidup ust dunia akhirat.

Ibnu Gharib berkata...

Terima kasih atas doa itu. Moga dikabulkan Allah.