PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

31 Ogos 2009

Semangat kemerdekaan kian pudar?

Hari ini 31 Ogos, kita menyambut ulangtahun kemerdekaan negara kita yang ke-52. Kebetulan pula sambutan tahun ini berlaku dalam bulan Ramadhan, bulan umat Islam melaksanakan ibadat puasa.

Oleh kerana majoriti rakyat Malaysia berpuasa pada hari ini, maka tiada sambutan secara besar-besaran dibuat sebagaimana tahun-tahun sebelum ini. Pendekatan yang diambil, ia dibuat secara keagamaan dengan masing-masing agama melakukan upacara agama masing-masing bagi menyambut kemerdekaan tahun ini.

Apapun cara sambutan bukan menjadi persoalan kepada kita. Sepatutnya kerajaan tidak menjadikan alasan bulan puasa untuk tidak mengadakan perarakan besar-besaran seperti biasa. Seolah-olah bulan puasa ini kita tidak boleh melakukan kerja-kerja berat.

Fahaman atau minda seperti itu patut diperbetulkan. Puasa bukan bererti kita meninggalkan kerja atau aktiviti tertentu yang mungkin membawa keletihan dan sebagainya.


Kalau kita kaji sejarah Islam, Nabi Muhammad SAW berperang dalam bulan Ramadhan ketika umat Islam baru sahaja disyariatkan dengan ibadat puasa seperti Peperangan Badar. Begitu juga beberapa peristiwa lain seperti Fathu Makkah (Pembukaan Kota Mekah) berlaku dalam keadaan umat Islam berpuasa.


Tetapi suatu kebetulan yang baik juga bila ulangtahun kemerdekaan kali ini berlaku dalam bulan puasa. Kerajaan boleh berjimat besar dari berbelanja jutaan wang bagi peruntukan majlis sambutan itu. Jadi alasan bulan puasa itu satu alasan yang lojik juga. Tetapi untuk selepas ini, jika sambutan bukan dalam bulan Ramadhan, kerajaan harus memikirkan secara serius untuk tidak melakukan pembaziran dengan perayaan-perayaan yang tidak banyak manfaatnya. Wang yang ada itu patut digunakan untuk keperluan lain yang lebih penting, terutama untuk rakyat bawahan yang masih ramai lagi hidup susah.


Sambutan bulan kemerdekaan pada tahun ini yang telah bermula pada 17 Ogos sehingga 16 September dilihat begitu hambar. Tidak seperti beberapa tahun dahulu, rakyat Malaysia berasa begitu megah untuk mengibarkan jalur gemilang, bendera kebanggaan negara di rumah-rumah atau premis-premis perniagaan dan lebih ketara lagi pada kenderaan-kenderaan mereka yang meluncur di jalan-jalan raya.


Di premis-premis tidak banyak kelihatan kibarannya. Kalaupun ada mungkin kerana 'diwajibkan' oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Pemasangan secara sukarela pada kenderaan sangat jarang ditemui bahkan mungkin 'kadang-kadang' sahaja.


Apa punca sebenarnya? Adakah rakyat Malaysia ini sudah tidak mampu untuk membeli bendera yang harga tidak semahal mana? Bahkan apa yang kita tahu, biasanya bendera-bendera kecil yang dipasang pada kenderaan diberi secara percuma. Adakah tahun ini tidak ada bendera percuma?


Atau mungkin ada alasan-alasan lain yang mereka yang berkenaan sendiri yang boleh memberi jawapan tepat. Apapun alasan yang diberikan, yang jelas kepada kita ialah semangat patriotik terhadap negara dilihat seolah-olah sudah pudar. Adakah mereka sudah tidak sayang lagi kepada negara tempat tumpah darah mereka? Atau mungkinkah mereka sudah bosan dengan kepimpinan negara yang memberikan gambaran yang 'macam-macam? Terserahlah kepada pertimbangan masing-masing...

Tiada ulasan: