PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

22 Oktober 2009

Ijtima' kumpul RM10 ribu derma kilat kebakaran

Haji Abdul Wahid menyampaikan sumbangan kepada Samsudin

KUALA TERENGGANU - Seorang aktivis PAS Kuala Terengganu tidak menyangka sambutan himpunan besar-besaran Ijtima' Kepimpinan PAS Negeri Terengganu Ke-13 Sabtu lalu, menjadi suatu hari dugaan kepada dirinya.

Rumahnya yang terletak di Kampung Seberang Baruh di Dewan Undangan Negeri (Dun) Wakaf Mempelam, tidak disangka-sangka terbakar sekitar pada jam 9.30 pagi hari tersebut.

Saudara Samsudin Mamat, 29, merupakan Ketua Penerangan Pemuda Dun Wakaf Mempelam serta Naib Ketua PAS Cawangan Seberang Baruh yang sangat aktif dengan aktiviti parti.

Ketika ditemui oleh Buletinonline, beliau berkata, api membakar dan merebak terlalu cepat sehingga tidak sempat menyelamatkan apa-apa barangan dan harta benda, termasuk beberapa dokumen penting.


Menurutnya, antara yang hangus terbakar adalah sebuah motosikal, peralatan elektrik, pakaian, buku-buku sekolah dan sebagainya yang dianggarkan kerugian RM100 ribu
.

“Sebenarnya, kami baru baiki rumah ini sebelum hari raya eidulfitri lalu dan saya rasa, kebakaran berpunca dari litar pintas kerana pada malam sebelum berlaku kebakaran tersebut, ada percikan api pada meter suiz utama.


“Saya telah cuba beberapa kali hubungi pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk mengadu kerosakkan tetapi talian sentiasa sibuk,” ujarnya pada hari kejadian, 17 Oktober lalu.


Beliau yang tinggal bersama ibu serta enam orang adik-beradik gagal menyelamatkan harta benda tersebut kerana kebakaran berlaku sangat cepat.


Namun begitu, katanya meski pun segala harta benda musnah tetapi tidak berlaku kemalangan jiwa yang boleh menyebabkan kematian.


Sehubungan itu, Setiausaha Ijtima' Kepimpinan PAS Negeri Terengganu, Zakaria Dagang telah membuat pengumuman dan melancarkan kutipan derma kilat bagi membantu mengurangkan beban Samsudin.


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam, Haji Mohd Abdul Wahid Endut telah bergegas melawat keluarga Samsudin sebaik sahaja mendapat berita ’tragedi’ itu.


Beliau melahirkan rasa sedih dan simpati serta menasihatkan Samsudin dan sieisi keluarganya supaya bersabar dengan ujian dari Allah itu.


“Hasilnya, kita (PAS) lancar derma kilat pada Ijtima’ Kepimpinan PAS Negeri Terengganu di Kubang Lembek (Markaz Tarbiyah) untuk bantu saudara Samsudin.


“Ini, saya serahkan hasil sumbangan orang ramai yang buat derma kilat khas untuk mangsa kebakaran sebanyak RM10,000 kepada keluarga Samsudin,” jelasnya.


Menurutnya, sumbangan dan bantuan tersebut tidak besar tetapi mampu meringankan sedikit beban kepada mangsa kebakaran rumah.


Hadir sama menziarahi mangsa kebakaran rumah tersebut Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Terengganu, Ahmad Kamal Ali dan Penolong Setiausaha Dewan Pemuda PAS negeri, Mohd Nasir Razak.


Petikan: Buletinonline

Tiada ulasan: