PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

23 Oktober 2009

Peranan PASTI dalam amal yang berterusan

Zakaria menerima anugerah dari Dato' Seri Abdul Hadi

MARANG - PASTI mempunyai peranan yang sangat besar dalam menyumbang kepada tiga amalan yang berterusan walaupun selepas mati iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak solih.

Peluang untuk melakukan sedekah jariah sangat luas dalam PASTI bagi sesiapa sahaja, guru PASTI pula telah menyampaikan ilmu yang bermafaat kepada anak-anak didik mereka, dan anak solih pula akan lahir hasil didikan dari PASTI.

Demikian ditegaskan oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ketika menyampaikan ucapan perasmian Sambutan Jubli Perak PASTI Negeri Terengganu di Rusila dekat sini malam tadi.

Tambah beliau lagi, usaha melahirkan anak solih adalah suatu yang sangat penting bagi setiap muslim. Ibu bapa mempunyai tanggungjawab besar dalam mendidik anak-anak sejak dari usia yang masih kecil sebagaimana pepatah, "Melentur buluh semasa rebung".

"PASTI adalah medan untuk membentuk anak-anak sejak semasa tunas lagi dan tidak ada cara lain melainkan dengan pendidikan Islam" ujar Dato' Seri Abdul Hadi.

Pendidikan Islam boleh membentuk peribadi muslim dengan roh iman dan akhlak mulia, seterusnya melahirkan generasi dan kumpulan yang dapat menyelamatkan manusia di dunia dan di akhirat.

"Kewajipan besar kita bukan sahaja untuk menyelematkan diri kita sahaja, tetapi juga generasi kita dengan Islam yang lengkap dan sempurna, bermula dari kalimah syahadah, mendirikan rumahtangga dan seterusnya negara," tegasnya lagi.

Dalam hubungan ini kata beliau, PAS bermula dengan membina PASTI di semua peringkat hinggalah berjuang untuk mendaulatkan syariat Allah di muka bumi ini.

Turut menyampaikan ucapan dalam majlis itu ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman dan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah.

Sempena majlis perasmian itu, Dato' Seri Abdul Hadi turut menyampaikan anugerah Tokoh Jubli Perak kepada tujuh orang mantan Pengarah PASTI Negeri Terengganu yang terdiri daripada Dato' Abu Bakar Chik (1984-1986), Cikgu Hussin Ismail (Pemangku), Ustaz Abu Bakar Abdullah (1986-1989), Ustaz Jusoh Othman (1989-1991), Cikgu Mohd Draman (1991-1993), Ustaz Zakaria Dagang (1993-1999) dan Ustaz Azmi Mohd Yasin (1999-2007).

Selain itu anugerah Jasamu Dikenang turut disampaikan kepada Wan Mohd Zaini Wan Yahya (Pengasas PASTI), Almarhum Haji Abdul Halim Mat Shafie (Pendokong Awal PASTI), Cikgu Raja Endun Raja Ab Rahman (Pengasas PASTI), Hajah Hasnah Endut (Guru PASTI Pertama), Fatimah Mohamad (Guru PASTI Pertama), Fatimah Harun (Guru PASTI Pertama) dan Jamilah Ismail (Guru PASTI Pertama).

Tiga PASTI terawal di negeri ini juga menerima anugerah iaitu PASTI Darussalam (Losong Haji Mat Shafie, Kuala Terengganu), PASTI Gong Gemia (Jalan Panji Alam, Kuala Terengganu) dan PASTI Itqanul-Hadid (Rusila).

Nostalgia: Melihat gambar 1980 PASTI Losong Hj Mat Shafie di bilik pameran

Tiada ulasan: