PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

03 Disember 2009

Misi Kemboja: Perjalanan yang panjang dan pengalaman berharga

SELASA 24 November, kami berlima memulakan perjalanan dari Kuala Terengganu ke negara Kemboja melalui jalan darat dengan sebuah van Nissan Vanette bernombor plet TS 7377. Kenderaan itu sudah agak uzur dan alat pendingin hawa pun sudah tidak berfungsi.

Anggota rombongan pula, tiga daripadanya sudah ketara uzurnya. Seorang pesakit jantung, seorang pengidap penyakit lelah dan kencing manis, manakala seorang lagi pula berpenyakit darah tinggi dan sakit sendi. Tetapi mereka mempunyai semangat yang tinggi dan tawakkal yang penuh.

Atas kehendak Allah mereka menjadi semakin sihat semasa dalam perjalanan walaupun menghadapi pelbagai kesukaran. Cuma kenderaan kami sahaja yang mengalami kerosakan; sekali mati di dalam air banjir yang melimpah jalan dan sekali lagi tayar pecah di Lebuhraya Narathiwat - Bangkok.

Perjalanan kami sudah terlewat sehari dari jadual asal apabila kami terkandas di pintu sempadan Pengkalan Kubur (Kelantan) - Tak Bai (Thailand). Setelah empat jam beratur panjang, apabila hampir sampai giliran kami untuk menaiki feri, tiba-tiba perkhidmatan feri hari itu ditamatkan. Kami terpaksa berpatah balik dan bermalam di masjid berhampiran untuk menunggu pagi esok pula untuk menyeberang sempadan.

Keesokan harinya (Rabu, 25 November) kami berjaya sampai ke sempadan Thailand di Tak Bai. Di situ kami terpaksa beratur panjang lagi untuk cop pasport bagi memasuki Thailand. Untuk sampai ke giliran kami dalam barisan yang berlingkar itu mengambil masa lebih dari tiga jam.

Kira-kira jam 12.00 tengah hari (11.00 pagi waktu Thailand), kami memulakan perjalanan di bumi Thailand dalam perjalanan yang panjang menuju ke Bangkok dan seterusnya ke bandar sempadan Aranyaprathet (Thailand) dan memasuki bandar sempadan Poipet (Kemboja) dalam jarak lebih kurang 1,600 km.

Kami melalui bandar-bandar Narathiwat, Pattani, Hatyai, Nakhon Si Thamarat, Surat Thani, Chumphon, Prachuap Khiri Khan, Phetchaburi, Ratchaburi, Nakhon Pathom, Bangkok, Sa Keo dan Aranyaprathet di Thailand sehinggalah ke Poipet (Kemboja). Selain dari itu beberapa bandar dan pekan kecil kami tempuhi dalam sepanjang perjalanan.

Di kawasan Selatan Thailand, kami melalui beberapa sekatan jalan raya. Bagaimanapun hanya tiga tempat semasa perjalanan pergi kami ditahan untuk meminta dokumen selain ada juga yang meminta wang dan rokok. Dalam perjalan balik kami ditahan tiga kali juga. Semasa awal perjalanan kami, ada polis yang mentertawakan kami apabila kami memberitahu destasi kami ialah Bangkok. Mungkin beliau tidak percaya melihat kepada keadaan kenderaan kami.

Perkara yang agak menyulitkan kami semasa perjalanan ini ialah untuk makan dan solat, terutama apabila melepasi Wilayah Selatan Thailand. Tiada masjid dan restoran muslim di kawasan berkenaan. Kami terpaksa berlapar dalam jangka waktu yang agak panjang sebelum berjumpa dengan tempat makan yang halal. Kami juga beberapa kali terpaksa solat di atas tanah di kawasan stesen minyak berlapikkan kertas surat khabar.

Kami 'sesat' hampir tiga jam di Kota Raya Bangkok. Walaupun kami memiliki peta lengkap, tetapi terlalu sukar untuk memahami sistem jalan rayanya, kerana penunjuk untuk keluar dari hutan batu itu langsung tidak ada. Sistem papan tandanya hanya menunjukkan destasi yang paling hampir selepas itu sahaja yang namanya terlalu asing bagi kami.

Apabila kami cuba bertanya kepada warga tempatan, mereka juga agak sukar untuk memberi penjelasan, apatah lagi apabila bahasa mereka tidak kami fahami. Sangat sedikit yang boleh berbahasa Inggeris, apatah lagi bahasa Melayu, walaupun ada di kalangan mereka adalah orang Islam.

Sebenarnya komunikasi kami lebih mudah semasa berada di Kemboja, kerana di mana sahaja kami sampai, kami akan berjumpa dengan warga mereka yang boleh berbahasa Melayu dengan baik. Mereka adalah bekas-bekas pekerja asing di Malaysia.

Kami sampai di sempadan pintu masuk ke Kemboja (Poipet) pada hari Khamis 26 November kira-kira jam 7.45 malam (waktu tempatan) iaitu 15 minit lagi sebelum ia ditutup. Dalam keadaan tergesa-gesa, kami meninggalkan van tanpa dikunci dan dalam keadaan tingkap terbuka untuk mengejar waktu bagi urusan cop pasport.

Apabila sampai di kawasan Kemboja setelah selesai cop masuk di kaunter imigresen, kami cuba untuk keluar semula bagi membawa masuk van kami, tetapi ketika itu pintu sempadan sudah ditutup.

Dua orang rakan warga Kemboja yang menyambut kami iaitu Ustaz Ibrahim dan Ustaz Zakaria cuba membantu menyelesaikan masalah kami, tetapi tidak berjaya. Kami meminta pertolongan kepada seorang lagi rakan iaitu Mohamad Zain yang mempunyai kenalan polis untuk menjaga van kami.

Masalah besar kami ialah semua pakaian kami berada di dalam van. Kami hanya sehelai sepinggang untuk menunggu hari esok yang merupakan hari raya qurban.

Tunggu sambungannya...

3 ulasan:

abu muaz berkata...

Salam. Tahun depan ambe nak ikut jugok.

Ibni Gharib berkata...

Insya' Allah, boleh. Kita rancang awal-awal dan kita pergi secara berkonvoi.

Abdullah Haris Zakaria at-Takeeriy berkata...

dop rase sayu....tapi rase kelakor plop..huhuhu