PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

12 Januari 2010

Kubur Tok Jembal bakal dihanyut ke laut


KUALA NERUS – Tanah perkuburan orang Islam di Kampung Tok Jembal dekat sini bakal dihanyutkan arus akibat hakisan pantai yang semakin teruk.

Yang Dipertua PAS Kuala Nerus, Ustaz Abu Bakar Abdullah berkata hakisan yang berlaku sejak akhir tahun 2008 berterusan, malah semakin parah kini.

Menurutnya, hakisan pantai yang berlaku itu adalah kerana pembangunan yang dilakukan di kawasan tersebut tidak mengikut piawaian yang ditetapkan.

”Apabila pembangunan tidak mengikut piawaian dan tidak mengikut perancangan yang sempurna, akan menimbulkan banyak kesusahan kepada masyarakat.

”Saya dapati di kawasan tersebut memanglah bukan sahaja jalan (yang menjadi) laluan utama yang terhakis, tetapi akan berterusan kepada tapak perkuburan,” katanya ketika ditemui Buletinonline.

Oleh itu beliau berharap pihak kerajaan dapat menyelesaikan masalah hakisan tersebut dengan segera, sekiranya kerajaan benar-benar mendahulukan kepentingan rakyat.

Sehubungan itu, Pengarah Majlis Tindakan Dun Seberang Takir, Zakaria Dagang turut menyatakan kebimbangannya apabila kini, tanah perkuburan yang terletak pada jarak seratus meter dari ‘gigi air’ kini cuma tinggal sekitar tiga puluh meter sahaja.

Beliau meminta pihak kerajaan mengkaji semula kontrak yang diberikan kepada syarikat yang mengawal masalah hakisan kerana setelah dua tahun, hakisan bukannya berkurangan bahkan bertambah lebar.

”Rata-rata masyarakat dan orang ramai berpendapat, masalah hakisan tersebut adalah disebabkan projek pemanjangan landasan terbang, syarikat yang sama juga dilantik untuk mengawal hakisan.

”Namun sehingga kini, bukan tambah kurang, bahkan tambah lebar,” katanya.

Beliau dimaklumkan, tiada sebarang kajian tentang ‘impak’ sebenar terhadap alam sekitar akibat pengunjuran landasan tersebut ke tengah laut.

"Selepas berlaku hakisan yang teruk pada tahun lalu, barulah timbul cadangan untuk membuat kajian, ia jelas maknanya, sebenarnya tidak ada kajian yang ‘detail’ (terperinci) dibuat,” jelas Zakaria.

Menurutnya, apabila ‘nasi telah menjadi bubur’, hakisan berleluasa, barulah Ahli Parlimen Kuala Nerus mencadangkan supaya dilakukan satu kajian.

Begitu juga beberapa projek lain termasuk ‘bumbung stadium yang runtuh’, tidak pernah sebelum ini kajian dilakukan terhadap struktur ‘tanpa tiang’ yang dibangunkan.

Beliau menyifatkan pelaksanaan pembangunan tanpa kajian itu kini bukan sahaja membahayakan kehidupan rakyat, malah mengancam tanah perkuburan (tempat orang-orang yang telah mati).

Tiada ulasan: