PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

25 Mei 2010

2 parti politik kerjasama tangani, banteras jenayah

Zakaria sedang berucap dalam majlis pembukaan

KUALA TERENGGANU: Sepakat membawa berkat. Itulah yang boleh disimpulkan apabila dua parti iaitu Umno dan Pas cawangan Teluk Ketapang di sini, bergabung untuk menangani dan membanteras masalah jenayah, penagihan dadah, gejala sosial serta masalah mat rempit membabitkan pelajar dan golongan remaja di kampung itu.

Program kali pertama seumpamanya dianjurkan membabitkan gabungan dua parti politik di kampung berkenaan yang mengetepikan perbezaan fahaman politik dengan kerjasama Polis Komuniti Balai Polis Gong Badak.

Kira-kira 100 orang terdiri daripada ahli Umno dan Pas hadir pada majlis itu yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Teluk Ketapang di sini. Hadir sama Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Abdul Halim Ishak; Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) daerah Kuala Terengganu, Nor Mahani Mohd Hanif; Pegawai Penguatkuasa Syariah Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu, Ripin Jusoh dan Pegawai Majlis Keselamatan Negara negeri Terengganu, Ahmad Redza Arshad.

Ketua Umno cawangan Teluk Ketapang, Muhamad @ Che Mat Ibrahim, berkata usaha murni mengadakan program itu bersama Pas cawangan Teluk Ketapang bertujuan memastikan kampung berkenaan bebas daripada gejala negatif, selain meningkatkan keselamatan awam dari kejadian jenayah.

Beliau berkata, walaupun ada berlaku kejadian jenayah, masalah penagihan dadah dan gejala sosial di kampung berkenaan, ia tidak serius dan masih terkawal. Bagaimanapun, usaha perlu diambil bagi mengekang gejala negatif terus menular di kampung itu jika dibiarkan tanpa pengawasan.

“Apa yang perlu kita sedar, masalah jenayah, dadah dan gejala sosial di kalangan pelajar dan remaja tidak mengenali anak orang Pas atau Umno. Masalah itu boleh menimpa sesiapa saja. Sebab itu kita ambil inisiatif mengadakan program cegah jenayah ini untuk kepentingan semua dan sama-sama menjaga keselamatan kampung,” katanya.

Ketua Pas cawangan kampung itu, Zakaria Dagang, berkata semua pihak perlu bekerjasama dalam soal menangani masalah jenayah, penyalahgunaan dadah dan gejala sosial kerana ia membabitkan kepentingan masyarakat.

“Jenayah tidak mengenal mangsa dan boleh menimpa sesiapa saja, terutama jika ibu bapa gagal menjaga serta mendidik anak dengan baik. Jenayah juga tidak mengenal status keluarga, sama ada anak orang Pas atau Umno. Menyedari masalah itulah, ia harus ditangani secara bersama demi kepentingan seluruh penduduk di kampung ini,” katanya.

Pengerusi Polis Komuniti Balai Polis Gong Badak, Md Azmi A Aziz pula berkata, pihaknya berterima kasih kerana Umno dan Pas cawangan kampung itu dapat bersama untuk melaksanakan program berkenaan yang menunjukkan kedua-dua parti saling memahami apabila membabitkan isu keselamatan penduduk.

“Kita mahu melihat kampung ini yang mempunyai kira-kira 4,000 penduduk bebas daripada masalah jenayah, dadah, gejala sosial dan mat rempit,” katanya.

Sumber: Berita Harian 25 Mei 2010

Sebahagian dari peserta yang hadir

Tiada ulasan: