PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

21 Julai 2010

Rehlah di Sekayu

Semalam, Selasa 20 Julai 2010 merupakan hari kelepasan am bagi negeri Terengganu sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Terengganu. Kesempatan dan keluangan hari cuti ini diambil oleh PAS Cawangan Teluk Ketapang untuk mengadakan program Rehlah Keluarga. Destinasi kami ialah Taman Pertanian, Sekayu, Kuala Berang.

Sebenarnya program rehlah ini adalah antara program tetap secara tahunan dalam jadual aktiviti PAS Cawangan. Tetapi sejak dua tahun kebelakangan ini, ia tertangguh disebabkan aktiviti-aktiviti lain yang agak banyak.

Cuma agak mendukacitakan sedikit kerana ramai juga anggota keluarga yang tidak dapat bersama-sama kerana terikat dengan komitmen lain. Yang dapat menyertai ialah sebanyak 12 keluarga sahaja.

Walaupun tidak dalam bilangan yang ramai, ia tetap meriah, terutama bagi anak-anak yang memang cukup teruja untuk aktiviti seumpama ini. Mereka berendam dalam air sampai 'kecut' dan 'biru'.

Acara dimulakan dengan ucapan pengerusi majlis, Sdra Razali Muhammad yang juga Naib Ketua PAS Cawangan dengan menjemput Ustaz Abdul 'Alim Zakaria untuk menyampaikan tazkirah ringkas. Kemudian diikuti dengan ucapan ringkas dari Ketua PAS Cawangan, Zakaria Dagang.

Selepas itu disusuli pula dengan acara spontan yang dikendalikan oleh Muhammad Nasih Ulwan Zakaria. Beliau bernasyid bersama abangnya, Abdul 'Alim.

Lebih meriah lagi apabila diadakan acara teka nama kampung. Lima soalan yang dikemukakan, akhirnya dapat juga dijawab oleh para peserta walaupun memakan masa agak lama juga. Kelima-lima mereka yang berjaya menjawab soalan menerima hadiah spontan dari Ketua PAS Cawangan.

Seusai acara di pentas itu, peserta dilepaskan untuk acara bebas. Bagi kanak-kanak, hampir semua terjun sungai menikmati kesejukan auranya. Sebahagian bapa, ada yang mencari 'buah kayu' di Taman Pertanian itu. Manakala sebahagian lagi ada yang mandi-manda dan berbual-bual dengan pelbagai cerita menarik.

Kami berkumpul kembali untuk makan tengah hari. Pelbagai lauk-pauk disediakan oleh setiap keluarga. Kami bertukar-tukar lauk antara satu sama lain. Paling istimewa ialah ikan singgang yang disediakan khas oleh keluarga Haji A Rahman Ramli, Setiausaha PAS Cawangan.

Masing-masing sangat berselera, apatah lagi bila ikan singgang berjumpa dengan budu dan tempoyak.

Selepas kekenyangan, kami solat Zuhur berjamaah dan berehat.

Kira-kira jam 3.00 petang, kami mula beredar meninggalkan tempat itu untuk pulang.

Sebahagian peserta

Ketua PAS Cawangan bersama anak buahnya

Peserta bergayut ala Tarzan

Anak-anak riang bermandi-manda

Tiada ulasan: