PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

29 Ogos 2010

Derita seorang ibu muda

Zakaria (kanan) menyampaikan sumbangan berupa keperluan harian bagi meringankan beban ditanggung Haslinda di rumahnya di Teluk Ketapang.

TELUK KETAPANG - Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Namun itulah hakikat yang terpaksa diharungi seorang ibu muda, Haslinda Abdullah, 29, walaupun menderita sakit urat kaki timbul, namun terus tabah bekerja sebagai pembantu kedai makan bagi memastikan keperluan anak-anak dipenuhi.

Menurut ibu kepada lima cahaya mata ini, penyakit yang dialaminya itu bertambah parah sejak lebih setahun lalu apabila dia mengambil keputusan untuk memulakan kerja, walaupun pada ketika itu dia baru 46 hari bersalin dan sepatutnya masih perlu berpantang.

"Pernah ketika di tempat kerja, darah memancut keluar dari urat kaki saya kerana berdiri terlalu lama, namun demi memastikan keperluan anak dipenuhi, saya tetap menggagahkan diri bekerja.

"Malah, saya turut dinasihatkan doktor untuk segera membuat pembedahan, tetapi apabila memikirkan kemungkinan buruk yang menimpa, pada siapa anak saya hendak bergantung harap nanti," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui dalam Program Bantuan Ramadhan Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir di sini.

Bergantung sepenuhnya pendapatan bulanan sebanyak RM450 ada kalanya mereka sekeluarga sering terputus wang, namun semua itu telah dianggap perkara biasa kerana sudah sering dilalui keluarga ini.

Menurutnya, lebih memeritkan dia terpaksa bekerja menampung keperluan sendirian memandangkan suami tidak bekerja.

"Dengan gaji sebanyak itu, ditambah pula sewa bulanan rumah sebanyak RM130 sudah tentu kewangan kami sekeluarga tidak menentu, tetapi seboleh mungkin saya tidak ingin menyusahkan orang lain.

"Apa yang paling merisaukan saya kini adalah keadaan anak keempat yang menghidap penyakit sawan serta memerlukan perhatian khusus. Namun kesibukan untuk mencari rezeki ada kalanya kesihatan anak saya itu terabai," katanya.

Menurutnya, dia tidak akan sesekali berputus asa dan akan terus memerah keringat untuk mencari sesuap nasi selagi terdaya.

Sementara itu, program yang diketuai Pengarah MTD Seberang Takir, Zakaria Dagang turut menyumbangkan bantuan berupa barangan keperluan dan sedikit wang sebagai persiapan untuk menyambut kedatangan hari raya nanti.

Sumber: Sinar Harian 26 Ogos 2010.

Tiada ulasan: