PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

02 November 2010

Sokongan Orang Asli di Galas penting

KUALA TERENGGANU - PAS tidak memandang rendah terhadap pengundi Orang Asli di Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas walaupun diakui golongan tersebut hanya menyumbang peratusan kecil terhadap kemenangan dalam pilihan raya kecil di kawasan itu.

Timbalan Ketua Penerangan PAS Negeri Terengganu, Zakaria Dagang berkata, sokongan Orang Asli terhadap pembangkang akan memperlihatkan perubahan besar dalam politik negara dan juga di Kelantan khususnya di Gua Musang.

Menurutnya, Orang Asli dilihat sudah ke depan dalam arus politik dan bijak menilai pemimpin mana yang boleh berkhidmat untuk mereka.

"Kalau dibanding antara Pilihan Raya Umum Ke-11 dan Ke-12, kita melihat terdapat peningkatan sokongan Orang Asli terhadap PAS dan ini sesuatu yang positif walaupun kita kalah di semua Peti Undi (UPU) di kawasan Orang Asli pada pilihan raya lalu.

"Walaupun mereka tidak menyumbang peratusan yang besar terhadap kemenangan dalam pilihan raya ini, namun sokongan mereka kepada PAS kelak akan menunjukkan satu perkembangan yang amat baik," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Diminta mengulas mengenai Orang Asli yang mahukan calon Barisan Nasional (BN), Ab Aziz Yusoff menang dalam pilihan raya kecil di Galas, Zakaria menganggap perkara itu hanya dimainkan oleh media.

Beliau berkata, Orang Asli sudah tahu menghargai peranan yang dimainkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan walaupun terdapat jabatan khusus di bawah Kerajaan Persekutuan untuk kaum tersebut yang turut memainkan tanggungjawab besar.

Bagaimanapun, katanya, jika benar majoriti Orang Asli memilih BN, keadaan itu tidak akan sesekali menjejaskan peluang calon PAS untuk menang.

"Kita masih boleh pertahankan kerusi DUN Galas walaupun tidak mendapat sokongan di peti undi Orang Asli. Kita juga tahu bahawa Tengku Razaleigh sendiri memainkan peranan yang besar dalam mempengaruhi Orang Asli menyokong BN," katanya.

Sebelum itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Post Handrop, Kamal Rami, 45, berkata tiada apa yang boleh dibanggakan oleh masyarakat Orang Asli hasil perjuangan kerajaan PAS Kelantan.

Sumber: Sinar Harian 1 November 2010

Tiada ulasan: