PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

07 Januari 2011

Beranikah Nasir tanding di DUN Bukit Tunggal?

Semasa membelek akhbar Sinar Harian semalam (6 Januari 2011), saya tertarik dengan satu berita dari Kuala Nerus, iaitu kenyataan Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus, Dato' Mohd Nasir Ibrahim Fikri.

Beliau menyatakan optimis bahawa DUN Bukit Tunggal akan dapat ditawan kembali oleh Umno / Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang. Beberapa alasan dikemukakan beliau termasuk kegagalan ADUN PAS, Dr Alias Razak membawa perubahan dalam kawasan tersebut.

DUN Bukit Tunggal adalah satu kawasan yang sering bertukar atau bersilih ganti antara PAS dan BN. Pernah dalam pilihan raya umum 1990, semasa PAS bersama Angkatan Perpaduan Ummah, DUN tersebut dirampas oleh calon Semangat 46 (S46).

Pada pilihan raya umum selepas itu (1995), BN kembali merampas DUN itu. Manakala pada pilihan raya umum 1999 pula, bertukar kepada PAS. Tahun 2004 giliran BN pula mengambil tempat dan seterusnya pilihan raya terakhir (2008), PAS pula memegang tampuk di DUN itu.

Senario di atas menggambarkan bahawa sejak 1990, PAS/S46 dan Umno/BN bergilir-gilir menawan kerusi panas itu. Barangkali kalau mengikut gilirannya, pilhan raya umum ke-13 (PRU-13) nanti mungkin BN pula yang akan mengambil alih. Berdasarkan logik ini, Dato' Nasir yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus yakin kerusi itu akan kembali kepada BN.

Tetapi rasanya tidak semudah itu untuk PAS menyerahkan kepada BN. PAS di DUN Bukit Tunggal adalah antara jentera yang terbaik di negeri Terengganu dari segi penyusunan dan gerak kerjanya. Sementelah pula wakil rakyatnya, Dr Alias Razak terkenal sebagai orang yang sangat dedikasi dengan tugas dan amanah yang diberikan dan merupakan perancang yang hebat.

Kalau Dato' Nasir benar-benar yakin DUN Bukit Tunggal akan dapat ditawan oleh BN dalam PRU-13 nanti, saya cabar beliau supaya bertanding di DUN tersebut. Kebetulan pula cita-cita besar beliau untuk mewarisi ayahnya sebagai Menteri Besar. Tidak ada sebab untuk beliau takut bertanding di situ, kerana beliau sendiri pernah menang di DUN tersebut pada pilihan raya umum 2004 lalu.

Tetapi dengar khabar angin jauh-jauh, Dato' Nasir semacam tidak sangat berminat untuk bertaruh di DUN Bukit Tunggal yang mungkin baginya risikonya terlalu tinggi. Beliau dikatakan sangat bercita-cita untuk beradu di DUN Seberang Takir yang merupakan antara kubu Umno terkuat di negeri ini. Di situ kedudukannya dirasakan sangat selesa dan dijamin selamat.

Mungkin dengan kapisitinya sebagai Ketua Bahagian, beliau mampu mengetepikan calon-calon lain untuk bertanding mewakili BN di DUN tersebut, termasuk penyandang sekarang walaupun bertaraf exco kerajaan negeri.

Persoalannya pula, apakah semudah itu kerusi selamat itu hendak diserahkan kepada beliau? Tidakkah nanti akan berulang peristiwa 2008 apabila penyandang ketika itu, Mohd Shapian Ali disingkirkan dari menjadi calon sehingga menimbulkan keributan yang tidak sedikit?

Walau apapun keadaannya, itu bukan urusan kita. Itu soal rumah tangga mereka. Terserah kepada mereka untuk mengaturnya macam mana. Kita tidak berhak masuk campur. Kita sekadar buat analisis. Mungkin betul dan mungkin juga tersasar.

Tiada ulasan: