PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS

PUSAT TARBIYAH KUALA NERUS
Memohon derma dan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan sebuah bangunan Pusat Tarbiyah

20 Januari 2011

Debat: Kenapa Najib perlu takut?

Isu cabaran debat terbuka yang dibuat Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Dato' Seri Anwar Ibrahim terhadap Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menjadi semakin hangat.

Dua hari lepas, Najib membalas dengan kata-kata sinis untuk menolak debat itu. Semalam pula, Anwar mengulangi cabaran itu melalui surat rasmi.

Alasan yang diberi oleh Najib dilihat suatu yang sengaja untuk mengelak dari debat itu. Beliau buat-buat berani dengan pelbagai helah di hadapan para penyokong fanatiknya. Kalau betul beliau ada 'rahsia besar' mengenai Anwar untuk didedahkan dalam debat itu (kalau ia berlaku), kenapa tidak diambil peluang keemasan itu? Sedangkan sebelum ini umum mengetahui bahawa segala keaiban Anwar telah didedahkan terutama melalui pendakwaan kes liwat terhadap beliau.

Kalau orang berfikir secara waras, nampak sangat Najib takut untuk berdepan dengan Anwar dalam debat itu. Beliau cuba mengalih perhatian kepada isu-isu lain yang tidak berkaitan dengan tajuk asal perdebatan yang dikemukakan oleh Anwar.

Padahal sebenarnya Najiblah yang memulakan isu yang membawa kepada cabaran debat itu apabila memperlekehkan Anwar dan Pakatan Rakyat (PR) yang mengemukakan Program 100 Hari Pakatan Rakyat.

Tujuan debat itu adalah untuk menjawab balik tuduhan 'bodoh' oleh seorang Perdana Menteri itu. Rupa-rupanya ia jadi seperti lempar batu sembunyi tangan. Berani menuduh tetapi tidak berani bertanggungjawab terhadap tuduhan itu. Inikah kewibawaan seorang Perdana Menteri?

Apa salahnya kalau Najib dan Anwar berdebat? Rakyat perlu tahu dan dengar penghujahan pemimpin mereka yang melaung-laungkan slogan "Rakyat diutamakan". Sekarang ini rakyat 1Malaysia mahu mendengar sendiri dan melihat sendiri pemimpin mereka berada di pentas demi rakyatnya.

Mereka yang mengatakan debat tersebut hanya membuang masa adalah satu pandangan orang yang takut kepada kebenaran. Di negara-negara umpama Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun dan negara-negara Eropah, debat adalah melambangkan kejujuran seseorang pemimpin, rakyat mereka telus dengan pemimpinnya.

Hari ini seluruh rakyat 1Malaysia tahu bahawa Najib adalah seorang Perdana Menteri yang penakut dan pengecut, hanya berani di hadapan para penyokongnya sahaja. Wajarkah pemimpin seperti ini terus diangkat memimpin sebuah negara yang mengamalkan demokrasi seperti Malaysia ini? Sudah sampai masanya untuk diganti. Yang pastinya, PAS Ganti Umno!

Tiada ulasan: